Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Nasib 2 suspek bunuh Kim Jong-nam diketahui esok

Nasib warga Indonesia, Siti Aisyah, dan warga Vietnam, Doan Thi Huong, akan diketahui esok mengenai sama ada mereka akan dipanggil membela diri atau dibebaskan daripada tuduhan membunuh abang pemimpin Korea Utara, Kim Chol atau Kim Jong-nam, tahun lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
Nasib 2 suspek bunuh Kim Jong-nam diketahui esok

Warga Indonesia, Siti Aisyah dan warga Vietnam, Doan Thi Huong. (Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 15 Aug 2018 07:32PM Dikemas Kini : 15 Aug 2018 07:36PM

KUALA LUMPUR: Nasib warga Indonesia, Siti Aisyah, dan warga Vietnam, Doan Thi Huong, akan diketahui esok mengenai sama ada mereka akan dipanggil membela diri atau dibebaskan daripada tuduhan membunuh abang pemimpin Korea Utara, Kim Chol atau Kim Jong-nam, tahun lalu.

Kes pembunuhan berprofil tinggi itu mendapat liputan meluas daripada media tempatan dan asing kerana mangsa adalah abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un. Kim Jong-nam mati selepas disapu racun saraf VX di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), ketika membuat persinggahan untuk ke Macau.

Sekiranya keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Azmi Ariffin memihak kepada kes pihak pendakwaan, yang berpendapat wujud prima facie terhadap kedua-dua tertuduh, mereka akan dipanggil membela diri. Namun jika sebaliknya, kedua-dua wanita itu akan dilepaskan dan dibebaskan.

Malaysia adalah negara kedua yang terlibat dengan serangan ejen saraf VX. Serangan pertama berlaku di Osaka, Jepun pada 1994, apabila bahan kimia itu disembur pada leher mangsa. Racun ejen saraf VX adalah senjata kimia yang paling berbahaya.

Siti Aisyah, 26, dan Doan, 29, didakwa dengan empat orang lagi yang masih bebas selepas membunuh Kim Jong-nam, 45, di balai berlepas klia2 pada 9.00 pagi, 13 Feb 2017.

Dakwaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Peguam Gooi Soon Seng, yang mewakili Siti Aisyah, dan peguam Hisyam Teh Poh Teik, yang mewakili Doan, yakin anak guam mereka akan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri atas tuduhan membunuh Kim Jong-nam.

"Berdasarkan keterangan yang sedia ada di mahkamah kami yakin Siti Aisyah akan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri," kata Encik Gooi.

"Kami yakin keadilan akan ditegakkan esok dan Doan akan dibebaskan. Tidak boleh katakan bahawa pihak pendakwaan telah mengemukakan keterangan kukuh untuk membuktikan wujud kes prima facie," kata Encik Hisyam.

SITI AISYAH, DOAN PEMBUNUH TERLATIH

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, pihak pendakwaan berharap keputusan akan memihak kepada mereka kerana pendakwaan sudah mengemukakan keterangan yang kukuh pada perbicaraan yang berlangsung selama 39 hari, mulai 2 Oktober 2017.

Semasa berhujah di akhir kes pendakwaan, Wan Shaharuddin berkata Siti Aishah dan Doan yang didakwa membunuh Kim Jong-nam itu merupakan pembunuh terlatih kerana mereka sudah mengenal pasti sasaran mereka dan secara teliti merancang dan melaksanakan misi tersebut.

Beliau berkata, kedua-dua wanita itu juga menyerang Kim Jong-nam dengan satu bahan berbahaya yang kebarangkalian kematian adalah tinggi dan peluang untuk menyelamatkan mangsa adalah amat kecil.

Ketika perbicaraan kes itu, Ketua Bahagian Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Mohd Shah Mahmood yang juga saksi keenam, berkata harapan untuk menyelamatkan seseorang individu yang terkena racun VX adalah tipis kerana ia sangat toksik dan menyebabkan komplikasi dengan pantas.

Sebanyak 34 saksi pihak pendakwaan dipanggil memberi keterangan dan sebanyak 236 barang bukti dikemukakan di mahkamah sepanjang perbicaraan yang mengambil masa selama tujuh bulan. 

Sumber : Bernama/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan