Images
  • najib (3)
    Mantan Perdana Menteri Najib Razak bercakap kepada Reuters dalam wawancara di Langkawi pada 19 Jun 2018. (Gambar: Edgar Su/ Reuters)

Najib sukar bayar bil selepas akaun bank dibekukan

KUALA LUMPUR: Mantan Perdana Menteri Najib Razak mengalami "kesusahan" dan sukar membayar bil-bilnya selepas kerajaan membekukan akaun bank peribadi milik beliau.

"Kerajaan perlu sedar bahawa saya juga rakyat biasa. Sebagai kepala rumah tangga, saya juga perlu membayar bil, kos perubatan dan perbelanjaan rumah tangga.

"Tindakan kerajaan membekukan akaun bank saya memaksa saya hidup dalam kesusahan dan sukar untuk menjalankan tanggungjawab," tulis Encik Najib dalam catatan Facebooknya semalam (11 Jul).

Beliau menyedari akaun peribadinya dibekukan selepas cek untuk membayar bil hospital anaknya ditendang bank. Tindakan kerajaan, tambah beliau, "tidak wajar" dan "terlalu keras".

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan membeku beberapa akaun bagi menjalankan siasatan terhadap pelibatan Encik Najib dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Akaun-akaun yang dibekukan termasuk akaun bank milik anak dan cucu-cucu Encik Najib.

Bagaimanapun, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Azam Baki menafikan bahawa akaun bank cucu Encik Najib dibekukan.

Encik Najib mendedahkan bahawa akaun bank anak-anaknya tidak lagi dibekukan bermula pagi semalam (11 Jul). Ini jelas, katanya, membuktikan bahawa tindakan kerajaan sebelum ini sebenarnya tidak berasas.

"Akaun bank peribadi saya masih dibekukan. Akaun ini tidak ada kaitan dengan politik. Ia juga tidak berkaitan dengan hal-hal yang disiasat pihak kerajaan," tambah beliau. 

- CNA/AQ/aq

Top