Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Najib sangkal tuduhan Guan Eng BN rompak wang GST

Mantan Perdana Menteri M'sia Najib Razak menyangkal tuduhan Menteri Kewangan Lim Guan Eng, kononnya BN merompak RM18 bilion (S$6 bilion) hasil daripada wang tuntutan GST

Anggaran Waktu Membaca:
Najib sangkal tuduhan Guan Eng BN rompak wang GST

Mantan Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak. (Gambar fail: Roslan Rahman/AFP)

Diterbitkan : 10 Aug 2018 05:54PM Dikemas Kini : 10 Aug 2018 05:57PM

KUALA LUMPUR: Mantan Perdana Menteri Malaysia Najib Razak menyangkal tuduhan Menteri Kewangan negara itu, Lim Guan Eng, kononnya Barisan Nasional (BN) merompak RM18 bilion (S$6 bilion) hasil daripada wang tuntutan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Seperti dinukil BHOnline, Encik Najib menyifatkan tuduhan Encik Lim itu sebagai kenyataan politik yang tidak berasas.

Beliau mendakwa, kerajaan mungkin sudah membelanjakan wang dalam akaun Kumpulan Wang Amanah Disatukan, yang sepatutnya disalurkan kepada akaun amanah tuntutan GST, bagi menampung perbelanjaan bulanan.

“Semua kutipan cukai dan pendapatan lain termasuk GST dibayar terus ke dalam Kumpulan Wang Amanah Disatukan kerajaan dan dari situ, dana kemudian dibayar ke dalam akaun amanah tuntutan GST setiap bulan bagi memenuhi keperluan pembayaran tuntutan secara berterusan.

“Ini dibenarkan oleh undang-undang dan memenuhi peruntukan Akta GST 2014, yang dibentangkan di Parlimen di mana pemimpin Pakatan Harapan (PH) juga hadir termasuk Guan Eng sendiri dan sudah tentu beliau tahu.

“Justeru, tiada wang atau dana ‘dirompak’ kerana kutipan wang GST semua dimasukkan ke dalam akaun Kumpulan Wang Amanah Disatukan,” kata Encik Najib dalam kenyataan di laman Facebook rasmi beliau hari ini (10 Ogos).

BHOnline menukil ahli Parlimen Pekan itu sebagai berkata apa yang mungkin terjadi ialah apabila kerajaan mensifarkan GST pada 1 Jun 2018, pemilik perniagaan boleh menuntut kesemua cukai input GST mereka serta merta, menyebabkan semua peniaga meluru untuk membuat tuntutan cukai input GST, sama ada mereka membuat jualan atau sebaliknya.

Katanya, kerajaan kehilangan pendapatan selama tiga bulan apabila GST disifarkan manakala Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pula belum lagi dilaksanakan.

“Akibatnya, kerajaan kini mengalami kesukaran untuk membayar tuntutan GST yang begitu banyak serta dibuat sekali gus dan memerlukan seseorang untuk dipersalahkan.

“Sebagaimana biasa, kesalahan itu dituding ke arah kerajaan BN walaupun ia adalah kesilapan kerajaan PH sendiri,” katanya.

Menurut BHOnline Encik Najib berkata, dakwaan kononnya BN ‘merompak’ RM18 bilion (S$6 bilion) wang GST mungkin dapat dimasukkan sekali dengan ‘hutang negara RM1 trilion (S$340 bilion)', digunakan sebagai alasan PH untuk tidak melaksanakan janji manifesto mereka, membatalkan atau mengurangkan bantuan kepada rakyat atau membayar tuntutan GST kepada pemilik perniagaan.

Katanya, memandangkan laporan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah dibuat selain Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) turut menyatakan akan membuat siasatan terhadap dakwaan ‘rompakan’ RM18 bilion (S$6 bilion) itu, beliau sedia memberi kerjasama sepenuhnya sebagai bekas Menteri Kewangan supaya kebenaran dapat didedahkan.

Katanya, jika dakwaan itu tidak benar, Guan Eng memperdaya Parlimen kerana membuat tuduhan serius itu dan berharap Speaker Dewan Rakyat tidak lagi melindungi Menteri Kewangan berkenaan kerana dewan yang mulia itu bukanlah tempat atau ruang bagi membuat dakwaan tidak berasas dan tuduhan bermotifkan politik.

“Ia sama seperti bagaimana Guan Eng membisu dan tidak berani memberi jawapan kepada syarikat paip gas milik kerajaan China yang membuat kenyataan global bahawa Guan Eng dan Tony Pua menipu dan cuba memfitnah mereka dengan mendakwa syarikat itu berpakat dengan kerajaan BN dalam ‘pengubahan wang haram,” kata Encik Najib lagi. 

Sumber : Agensi berita/SU/hs
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan