Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Najib Razak: UMNO tidak perlu pertahankan saya

Mantan Perdana Menteri Najib Razak menegaskan bahawa parti UMNO tidak perlu mempertahankan dirinya kerana beliau berupaya mempertahankan diri sendiri dalam mengharungi keadaan sekarang.

Anggaran Waktu Membaca:
Najib Razak: UMNO tidak perlu pertahankan saya

Mantan Presiden UMNO, Najib Razak. (Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 10 Aug 2018 11:00AM Dikemas Kini : 10 Aug 2018 11:04AM

KUALA LUMPUR: Mantan Perdana Menteri Najib Razak menegaskan bahawa parti UMNO tidak perlu mempertahankan dirinya kerana beliau berupaya mempertahankan diri sendiri dalam mengharungi keadaan sekarang.

Laman berita BH Online menukil mantan Presiden UMNO itu sebagai berkata bahawa segala tuduhan dan fitnah adalah terhadap dirinya dan bukan UMNO. Oleh itu, adalah tidak adil untuk UMNO menanggung beban.

“UMNO tidak perlu mempertahankan saya terhadap fitnah yang dilemparkan ini. Melalui perbicaraan yang adil, saya yakin dapat mempertahankan diri saya,” kata Encik Najib.

Beliau berkata demikian menerusi catatan di laman Facebooknya pada Khamis (9 Ogos).

BH Online melaporkan pada pagi Rabu (8 Ogos), Encik Najib mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi atas tiga tuduhan menerima wang hasil kegiatan haram, berjumlah RM42 juta (S$14 juta) menerusi akaun peribadinya.

Jika sabit kesalahan, Encik Najib boleh dijatuhi hukuman penjara maksimum selama 15 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai hasil kegiatan haram atau RM5 juta (S$1.7 juta), atau mana-mana jumlah yang lebih tinggi.

Encik Najib, yang melahirkan rasa yakin tidak bersalah terhadap segala tuduhan ke atas dirinya, sebaliknya menegaskan bahawa kesalahan itu dilakukan hanya kerana beliau cuba untuk melakukan yang terbaik bagi rakyat Malaysia, negara dan parti itu.

BH Online menukil beliau sebagai berkata, “Sebagai Perdana Menteri dan Pengerusi BN pada masa itu, saya menjadi sasaran pihak lawan yang membuat pelbagai serangan fitnah terhadap saya."

Mantan Perdana Menteri itu juga berkata, jasa UMNO kepada Malaysia tidak boleh dinafikan begitu saja. Ini kerana parti itu berjaya membawa Malaysia hampir meraih status ekonomi maju serta menikmati ketenteraman dan keamanan sejak kemerdekaannya.

Encik Najib turut berkata, perjuangan parti itu berniat baik dan beliau akan terus menjadi ahli UMNO yang setia serta bersedia untuk menghulurkan bantuan jika perlu. Malah, beliau juga akan akan terus bersuara terhadap isu-isu yang menjejaskan rakyat Malaysia mahupun negara.

“Saya berhak menggunakan kebebasan bersuara saya dan berhak mempertahankan diri jika timbul lagi sebarang tuduhan dibuat terhadap saya atau kerajaan BN lalu,” katanya, sambil menjelaskan bahawa sebagai Ketua Bahagian UMNO dan Ahli Parlimen, beliau memiliki pengalaman dan pengetahuan dengan apa yang berlaku dalam kerajaan lalu. 

Sumber : Agensi berita/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan