Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Najib Razak selar gambaran salah tentang M'sia, gesa media cegah berita palsu

Perdana Menteri Malaysia Najib Razak meminta media tempatan dan antarabangsa supaya mengekalkan kepercayaan dan keyakinan pembaca dengan berjuang menentang arus berita palsu.

Anggaran Waktu Membaca:
Najib Razak selar gambaran salah tentang M'sia, gesa media cegah berita palsu

Mantan Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak. (Gambar fail: Alexandra Radu/Reuters)

Diterbitkan : 20 Apr 2017 02:18PM Dikemas Kini : 20 Apr 2017 02:21PM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia Najib Razak meminta media tempatan dan antarabangsa supaya mengekalkan kepercayaan dan keyakinan pembaca dengan berjuang menentang arus berita palsu.

Beliau berkata arus berita palsu mengancam merubah kebenaran menjadi satu perkara yang semata-mata subjektif, dengan hanya segelintir fakta yang sebenar.

"Kami telah lali dengan masalah ini di Malaysia. Kami ada bekas pemimpin yang berkata Malaysia akan muflis.

"Ada orang yang bercakap tentang Malaysia dalam keadaan bahaya menjadi sebuah negara gagal. Dan malangnya, apabila penentang kerajaan sebarkan berita palsu, sesetengah orang percaya kepada mereka, kerana - tersilap - percaya mereka ini tidak berbohong," katanya.

Najib berkata demikian dalam ucapan di majlis Anugerah Media Asia ke-16 anjuran Persatuan Penerbit Akhbar dan Berita Sedunia (WAN-IFRA) semalam (19 Apr).

NEGARA LAIN IKTIRAF MENERUSI PELABURAN BESAR

Encik Najib menambah Malaysia sudah mengorak langkah dalam membina projek prasarana termasuk sistem pengangkutan awam bertaraf dunia yang memberi manfaat besar kepada rakyat.

"Negara lain mengiktiraf apa yang kita lakukan. Keyakinan mereka terhadap Malaysia telah dibuktikan beberapa bulan lepas melalui siri pelaburan besar yang diumumkan oleh China, Arab Saudi dan India," katanya.

Encik Najib mengulas laporan yang disiarkan baru-baru ini oleh BAV Consulting dan Sekolah Wharton, Universiti Pennsylvania yang menamakan Malaysia sebagai negara terbaik untuk membuat pelaburan dengan menyatakan Malaysia adalah negara pendahulu.

Beliau bagaimanapun memandang berat terhadap berita palsu yang diedarkan di arus perdana dan pembohongan diputar belit sebagai fakta termasuk mengenai Malaysia.

"Mereka cuba melibatkan Yang di-Pertuan Agong, pada masa itu. Tanpa sebarang bukti dan hanya berdasarkan sumber tidak diketahui, sumber yang mungkin tidak wujud. Dan pelbagai sumber, termasuk pihak berkuasa bebas, yang tidak sesuai dengan sebahagian daripada naratif mereka, mereka tidak peduli.

"Mereka membenarkan diri mereka digunakan sebagai proksi media bagi pihak yang mencari untuk campur tangan dalam negara berdaulat ini dan mahu menukar pemerintahan ''yang dipilih secara demokratik''. Etika kewartawanan lenyap, mengejar kepentingan diri untuk kemasyhuran peribadi," katanya.

M'SIA KECAP PERTUMBUHAN SIHAT

Berhubung pertikaian fakta mengenai Malaysia, Encik Najib berkata Malaysia mengecapi pertumbuhan sihat dan malah dalam keadaan ekonomi global yang gawat, Malaysia mampu mencatat pertumbuhan 4.2 peratus pada 2016.

"Kami menjangkakan angka lebih tinggi sedikit untuk tahun ini, dan terus meningkat pada 2018. Angka ini menunjukkan Malaysia mencatatkan pertumbuhan lebih daripada dua kali ganda daripada jangkaan IMF (Tabung Kewangan Antarabangsa) untuk negara maju bagi tempoh yang sama," katanya.

Beliau menambah antara 2010 dan 2016, Malaysia menawarkan 1.8 juta peluang pekerjaan, iaitu lebih satu juta adalah pekerjaan berpendapatan tinggi.

"Pendapatan negara kasar meningkat hampir 50 peratus. Kami hampir membasmi kemiskinan, mengurangkannya kepada hanya 0.6 peratus.

"Kami berjaya mengekalkan inflasi dan kadar pengangguran yang rendah, dan telah diiktiraf oleh institusi global seperti Bank Dunia dan IMF bagi pembaharuan yang telah dilaksanakan," katanya.

Beliau berkata kebebasan bersuara berkembang maju di Malaysia, merujuk kepada kritikan terhadap kerajaan, menteri dan pegawai kerajaan dalam media Malaysia.  

Sumber : Bernama/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan