Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Najib Razak persoal tempoh kenal pasti tunggakan tuntutan GST

Mantan Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak, mempertikaikan bagaimana Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, mengambil masa sehingga tiga bulan untuk menyedari terdapat tunggakan tuntutan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebanyak RM18 bilion (S$6 bilion).

Anggaran Waktu Membaca:
Najib Razak persoal tempoh kenal pasti tunggakan tuntutan GST

Mantan Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak. (Gambar fail: Roslan Rahman/AFP)

Diterbitkan : 11 Aug 2018 11:31PM Dikemas Kini : 11 Aug 2018 11:36PM

KUALA LUMPUR: Mantan Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak, mempertikaikan bagaimana Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, mengambil masa sehingga tiga bulan untuk menyedari terdapat tunggakan tuntutan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebanyak RM18 bilion (S$6 bilion).

Menulis di laman Facebooknya pada Sabtu (11 Ogos), Encik Najib turut menyoal kenyataan Encik Lim bahawa kerajaan Malaysia tidak boleh membuat bayaran itu kerana sudah ‘dirompak’, sedangkan RM18 bilion (S$6 bilion) itu bukanlah jumlah kecil.

“Apa yang saya lihat, kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebenarnya tidak menjangkakan peningkatan mendadak tuntutan GST sebaik sahaja ia disifarkan.

“Pengecualian cukai GST selama tiga bulan di mana kerajaan tidak lagi memperolehi pendapatan daripada (hasil) GST atau Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) turut bermakna wang di dalam Kumpulan Wang Amanah Disatukan yang sepatutnya disalurkan, mungkin sudah digunakan bagi menampung perbelanjaan bulanan kerajaan,” katanya.

Menurut Encik Najib, Jabatan Kastam Diraja Malaysia juga sudah mengesahkan kutipan GST tidak dicuri, dirompak atau disalurkan ke mana-mana akaun tidak sah. Namun, ia sebaliknya dimasukkan ke dalam akaun Kumpulan Wang Amanah Disatukan Kerajaan yang kemudian digunakan untuk membayar kepada akaun tuntutan GST secara berkala.

Beliau berkata: “Tempoh yang disebut adalah sehingga 31 Mei 2018. Barisan Nasional (BN) hilang kuasa pada 9 Mei 2018. Ini bermakna, permintaan untuk menyalurkan dana ke akaun amanah tuntutan GST bagi bulan April dan Mei 2018 adalah di bawah pentadbiran Pakatan Harapan.”

Encik Najib menjelaskan bahawa jumlah tuntutan adalah berdasarkan kepada borang GST-3, yang mana ia diisi oleh pemilik perniagaan untuk membuat tuntutan yang kemudiannya bergantung kepada berapa jumlah yang sudah diaudit atau diluluskan oleh pihak kastam.

“Ia adalah jumlah kasar dan bukan jumlah yang sudah diluluskan. Berapa jumlah tertunggak yang sudah diaudit, ditolak atau diluluskan oleh pihak kastam sebelum membuat permohonan dana dipindahkan ke dalam akaun amanah tuntutan GST?” soal beliau.

Encik Najib juga bertanya daripada jumlah RM19.4 bilion tersebut, berapa banyakkah tuntutan baru berikutan langkah pensifaran GST.

“Biarpun mengambil kira tuntutan GST bagi April dan Mei yang amat tinggi di mana ia bukan lagi di bawah kerajaan BN, lebih 76 peratus daripada tuntutan GST sudah dibuat oleh kerajaan BN dan menunjukkan tidak berlaku langsung rompakan seperti dituduh,” katanya.

Menurut Encik Najib lagi, kutipan SST yang lebih rendah berbanding GST akan memburukkan lagi keadaan yang mana kerajaan dijangka tidak akan memiliki dana untuk membayar tuntutan GST tertunggak itu.

“Ini akan memberi kesan kepada pelabur yang risau janji Encik Lim bahawa kerajaan PH akan mencapai defisit bajet 2.8 peratus tidak akan dapat ditunaikan.

“Tidak mencapai sasaran janji defisit bajet turut akan mengurangkan keyakinan pelabur dan akan menyebabkan penarafan kredit negara ini diturunkan,” katanya.

Encik Najib juga berharap siasatan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan mendedahkan perkara sebenar dalam isu tersebut. 

Sumber : Bernama/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan