Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Najib persoal dakwaan Dr Mahathir BN minta 30% saham dari syarikat China

Dakwaan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bahawa kerajaan Barisan Nasional sebelum ini meminta 30 peratus saham daripada syarikat China umpama menuduh syarikat gergasi dari negara berkenaan bersubahabat melakukan rasuah.

Anggaran Waktu Membaca:
Najib persoal dakwaan Dr Mahathir BN minta 30% saham dari syarikat China

Mantan Perdana Menteri Najib Razak. (Gambar fail: Mohd Rasfan/ AFP)

Diterbitkan : 20 Aug 2018 07:55AM Dikemas Kini : 20 Aug 2018 07:59AM

PUTRAJAYA: Dakwaan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bahawa kerajaan Barisan Nasional sebelum ini meminta 30 peratus saham daripada syarikat China umpama menuduh syarikat gergasi dari negara berkenaan bersubahabat melakukan rasuah.

Mantan perdana menteri Najib Razak berkata demikian sebagai mengulas ucapan Dr Mahathir dalam forum Pemimpin Kelab Usahawan China di Beijing semalam (19 Ogos).

"Hari ini di China, nada Tun Mahathir bagai berucap di ceramah politik di hadapan ahli perniagaan China dengan menuduh BN memaksa syarikat China untuk memberi 30 peratus saham syarikat mereka kepada orang tertentu.

"Adakah masuk akal kononnya kerajaan BN meminta 30 peratus saham syarikat-syarikat kerajaan China sebagai sogokan?

"Adakah Tun Mahathir menuduh bahawa syarikat-syarikat gergasi milik kerajaan China bersubahat dengan kerajaan BN untuk melakukan jenayah rasuah?," tanya Encik Najib menerusi catatan Facebooknya seperti ditukil Malaysiakini.

Menurut Malaysiakini, Dr Mahathir ketika berucap dalam Forum Pemimpin Kelab Usahawan China di Beijing mendakwa kerajaan BN sebelum ini terlibat dalam rasuah menerusi kemasukan pelabur atau syarikat dari China.

"Terdapat kes di mana pelabur diminta memberi 30 peratus saham kepada sesetengah orang. Itulah sebabnya berlaku kelewatan kerana orang tertentu cuba mendapatkan wang daripada pelabur," katanya.

Menurut Encik Najib, dua projek infrastruktur yang dilaksanakan di bawah kerajaan BN lalu ialah projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan sebuah projek saluran paip petroleum.

ECRL dianugerahkan kepada syarikat CCCC Ltd, manakala projek saluran paip itu diberikan kepada syarikat China Petroleum Pipeline Bureau (CPPB).

"Syarikat CCCC Ltd ialah sebuah syarikat disenarai awam yang dikuasai oleh kerajaan China dan adalah syarikat yang amat besar di peringkat global dengan nilai penjualan AS$70 billion (S$95 bilion) setahun di seluruh dunia.

"Syarikat CPPB adalah sebuah syarikat pembina saluran paip petroleum terbesar di dunia dan dimiliki sepenuhnya oleh syarikat gergasi China National Petroleum Corporation (CNPC) yang dikuasai sepenuhnya oleh kerajaan negara China," tambahnya seperti dilaporkan Malaysiakini.

Menurut Encik Najib CNPC ialah syarikat keempat terbesar di dunia dengan nilai penjualan setahun sekitar AS$300 bilion (S$411 bilion).

"Tun Mahathir perlu berhenti bercereka dan tunjukkan bukti bahawa tuduhannya adalah benar. Sebagai seorang Perdana Menteri, seharusnya beliau berhenti bermain politik di hadapan pelabur-pelabur luar negara," katanya. 

Sumber : Agensi berita/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan