Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Najib hantar surat kepada CIA minta sokongan bagi PRU14

Lima hari sebelum pilihan raya umum pada 9 Mei, bahagian penyelidikan Jabatan Perdana Menteri yang disebut sebagai unit risikan menulis surat kepada Pengarah CIA Gina Haspel.

Anggaran Waktu Membaca:
Najib hantar surat kepada CIA minta sokongan bagi PRU14

(Gambar fail: Mohd Rasfan/ AFP)

Diterbitkan : 19 Jul 2018 05:41PM Dikemas Kini : 19 Jul 2018 05:44PM

PUTRAJAYA: Lima hari sebelum pilihan raya umum pada 9 Mei, bahagian penyelidikan Jabatan Perdana Menteri yang disebut sebagai unit risikan menulis surat kepada Pengarah CIA Gina Haspel.

Surat tiga halaman yang dilihat Malaysiakini itu menyatakan mantan Perdana Menteri Najib Razak dijangka memenangi pilihan raya dengan undi yang hanya cukup untuk membentuk kerajaan.

Bagaimanapun, surat itu meminta Amerika Syarikat menyatakan sokongan terhadap pentadbiran Encik Najib walaupun cuma menang dengan 'majoriti mudah atau hanya satu kerusi'.

"Saya berharap pihak tuan akan dapat melaporkan kepada setiausaha negara mengenai kerumitan mengurus pilihan raya ini oleh Perdana Menteri Najib dan keperluan untuk mendapat sokongan Amerika bagi kerajaan sekarang walaupun kami memenangi pilihan raya dengan majoriti mudah atau hanya satu kerusi.

"Sebarang petunjuk bahawa kerajaan Amerika akan terus menyokong Perdana Menteri Najib dan kerajaannya pasti akan memperkuat kestabilan kami dan meningkatkan hubungan mesra sedia ada yang didorong oleh hubungan erat antara kedua pemimpin," katanya.

Jurucakap Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengesahkan kesahihan surat itu tetapi enggan mengulas lanjut.

Dalam wawancara eksklusif dengan Malaysiakini semalam (18 Jul), Menteri Luar Saifuddin Abdullah mendakwa tidak tahu mengenai surat tersebut dan berkata risikan sepatutnya memastikan keselamatan negara dan bukan mengenai pilihan raya.

"Saya tidak fikir risikan harus terbabit dalam usaha memenangi pilihan raya.

"Perisikan tidak sepatutnya melakukan apa-apa dalam pilihan raya. Pilihan raya adalah mengenai kehendak rakyat, pilihan raya adalah mengenai demokrasi," kata Encik Saifuddin.

Surat dialamatkan kepada pengarah CIA yang dilantik pada akhir Mei di bawah pentadbiran Donald Trump itu turut menyentuh mengenai Dr Mahathir bekerjasama dengan pembangkang.

"Tuan mesti dimaklumkan dengan baik bahawa Mahathir, pada dasarnya bukanlah seorang tokoh pembaharuan yang dapat meningkatkan kepentingan negara kerana beliau menyertai pembangkang untuk kepentingan diri sendiri.

"Sementara itu, pembangkang berharap dapat mempergunakan kehebatannya (Dr Mahathir) dalam politik untuk mengalahkan Perdana Menteri Najib," kata surat yang ditulis oleh ketua pengarah bahagian penyelidikan JPM Hasanah Ab Hamid.

MAHATHIR ANTI-BARAT, NAJIB PRO-AMERIKA

Surat itu turut menyebut Dr Mahathir yang berusia 93 tahun pada masa itu merupakan seorang yang "anti-Barat, antisemitik, kuku besi dan mendiamkan kritikan melalui kekerasan, tidak mempedulikan hak asasi manusia dan kedaulatan undang-undang. "

"Sepanjang tempohnya, Akta Keselamatan Dalam Negeri disalahgunakan untuk agenda politiknya sendiri dan membenarkan beliau memerintah Malaysia selama lebih dua dekad," katanya.

Sebaliknya, surat itu mengatakan sepanjang 9 tahun pentadbiran Encik Najib, beliau menunjukkan rekod yang baik bukan sahaja dasar asing yang progresif tetapi juga menyumbang kepada keselamatan melalui pelibatan aktif dalam mempromosikan keamanan dan kestabilan di rantau ini, lapor Malaysiakini.

Walaupun pengkritik termasuk Mahathir menuduh Encik Najib berpaling kepada China, surat tersebut menyatakan mantan perdana menteri itu akan memihak kepada Amerika.

"Tidak seperti Mahathir, Najib dikenali sebagai sekutu Amerika yang kuat dan akan terus menyokong kehadiran Amerika di rantau ini.

"Tanpa Najib yang bertanggungjawab ke atas negara ini, Amerika Syarikat akan kehilangan rakan kongsi yang boleh dipercayai di Asia Tenggara memandangkan Filipina melepaskan diri dari Washington, Singapura dan Brunei terlalu kecil untuk meninggalkan kesan dan Thailand serta Indonesia dibelenggu masalah domestik mereka sendiri.

"Sementara itu, negara-negara Indo-China kecuali Vietnam terlalu cenderung ke arah China," katanya.

Menurut surat itu, Malaysia juga mengalu-alukan kehadiran Amerika di rantau ini, terutamanya Laut China Selatan untuk memberi keseimbangan terhadap ketegasan maritim China. 

Sumber : Agensi berita/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan