Images
  • Najib BN
    Gambar: Najib Razak/Facebook

Najib bertemu Anggota Parlimen BN, tekankan kesetiaan dan bersatu padu kepada parti

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak mengadakan pertemuan dengan Anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) di kediamannya, di Seri Perdana hari ini (16 Apr), menurut laporan Berita Harian Malaysia.

Pertemuan itu bermula pada jam 9.00 pagi dan berakhir kira-kira sejam selepas itu.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim, berkata bahawa pertemuan itu banyak menyentuh mengenai kekeluargaan dalam parti, setia kawan dan prinsip wala'.

"Kami sebagai keluarga BN perlu memegang prinsip wala', pertemuan tadi bersama Ahli Parlimen BN dan perjumpaan itu diadakan secara beramai-ramai," katanya.

Berita Harian Malaysia turut melaporkan bahawa Pengerusi MIC Wilayah Persekutuan, Datuk M Saravanan, berkata amanat yang diberikan Perdana Menteri ialah untuk menjaga parti BN.

"Ucapan yang diberikan sangat ringkas, meyakinkan dan menanam semangat BN tidak kira dilantik menjadi calon atau tidak, kita mesti bersama BN.

"Selain itu juga, beliau (Najib) turut meminta kami mempertahankan parti dan BN demi kebaikan negara.

"Semua yang hadir gembira sebab ia menanam sifat kekitaan dalam diri ahli BN, caranya itu (mengadakan pertemuan) sangat bagus," katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai kerusi di Cameron Highland, Saravanan berkata pertemuan berkenaan tidak sedikit pun berbincang mengenai Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), tambah laporan Berita Harian Malaysia.

- Agensi berita/SM/sm

Top