Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Murid melecur ketika amali sains di sekolah, bukan kecuaian guru

Insiden melibatkan empat murid tahun dua SJKT Maha Ganesa Viddysalal yang mengalami kelecuran akibat terkena air panas

Anggaran Waktu Membaca:
Murid melecur ketika amali sains di sekolah, bukan kecuaian guru

Gambar hiasan. (Gambar: MANAN VATSYAYANA/AFP)

Diterbitkan : 10 Aug 2018 04:59PM Dikemas Kini : 10 Aug 2018 05:00PM

SITIAWAN, PERAK: Insiden melibatkan empat murid tahun dua Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Maha Ganesa Viddysalal yang mengalami kelecuran akibat terkena air panas bukan disebabkan kecuaian guru, sebaliknya satu kemalangan sahaja, lapor Bernama.

Menurut Jawatankuasa Eksekutif (Exco) Pendidikan, Teknologi, Sains, Alam Sekitar dan Penerangan Dr Abdul Aziz Bari, siasatan mendapati tiada sebarang pelanggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dilakukan oleh pihak sekolah ketika sesi pembelajaran di makmal berlangsung.

Beliau mengatakan bahawa semasa insiden berlaku pada sekitar 10.30 pagi, seramai 35 murid tahun dua sedang menjalani sesi amali sains bersama seorang guru sebelum tiga pelajar lelaki dan seorang pelajar perempuan terkena air panas.

"Saya harapkan kita tidak menuding jari kepada pihak sekolah dan guru kerana ia tidak membantu, sebaliknya hanya menambah trauma kepada guru yang terlibat," kata beliau.

Beliau berkata demikian kepada pihak media selepas melawat seorang pelajar yang melecur di bahagian kaki kanan, di SJKT Maha Ganesa Viddysalal, hari ini (10 Ogos).

Bernama melaporkan bahawa tiga pelajar lelaki yang terlibat kini dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh dengan seorang daripada mereka melecur hampir seluruh bahagian hadapan badan, termasuk kemaluan, manakala dua lagi di bahagian bawah perut.

Encik Abdul Aziz berkata pihak kerajaan negeri akan memberi bantuan sewajarnya kepada keluarga pelajar terbabit dan pihak sekolah tersebut untuk mengelakkan insiden serupa berulang.

Dalam pada itu, Encik Abdul Aziz berkata keadaan makmal yang serba kekurangan di setiap sekolah perlu diberi perhatian bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku sehingga menyebabkan kecederaan kepada pelajar, menurut laporan Bernama.

"Insiden ini juga memberi kesedaran kepada kita supaya perlu komited dalam memberi prasarana kepada sekolah-sekolah," kata beliau.

Sumber : Bernama/HS/hs
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan