Images
  • kolam tahfiz
    (Gambar: Taman Rekreasi Wadi Al-Amin/ Facebook)

Mudir buka taman rekreasi demi jana pendapatan untuk pusat tahfiz

TEMERLOH: Tanpa bergantung kepada sumbangan ikhlas masyarakat mahupun kutipan daripada acara-acara amal, pusat tahfiz ini mampu terus beroperasi dan bertahan.

Itulah yang dibuktikan Pengetua Pusat Tahfiz Al-Amin, Ustaz Wahid Ghaffar Ibrahim, bersama kumpulannya. Ustaz Wahid bertekad menyediakan pendidikan sempurna yang akhirnya menjadikan anak-anak tahfiz sebagai insan berguna satu hari nanti, tanpa bergantung kepada sumbangan derma.

Bagi terus menjana pendapatan tetap untuk mengelolakan pusat tahfiznya, Ustaz Wahid membangunkan satu taman rekreasi. Beliau memberitahu Astro Awani bahawa idea itu tercetus ketika beliau menyertai satu kursus yang menekankan tentang peri pentingnya para pengendali pusat tahfiz berfikir secara kreatif untuk menjana pendapatan sampingan.

Meskipun caranya menjana pendapatan lain daripada yang lain, taman rekreasi yang mempunyai kolam renang sudah beroperasi selama lima tahun! Tidak hairanlah, Tahfiz Al-Amin terus bertahan hingga ke hari ini, tanpa dihimpit masalah kewangan.

Setiap idea kreatif untuk menjana pendapatan tambahan, bagaimanapun, perlu dibincangkan bersama pakar-pakar, tegas Ustaz Wahid.


(Gambar: Taman Rekreasi Wadi Al-Amin/ Facebook)

"Idea kreatif yang lebih luas kadang-kadang perlu diberi khidmat nasihat dan mendapatkan pandangan daripada rakan-rakan seperjuangan atau daripada pihak berkuasa," ujarnya.

Pendekatan inovatif untuk mengumpul dana bagi pusat tahfiznya itu turut diiktiraf. Menurut Astro Awani, Ustaz Wahid menerima Anugerah Inovasi Jabatan Swasta Negeri Pahang pada tahun 2016.

Lebih menarik lagi, Kolam Tahfiz Al-Amin menawarkan ciri-ciri yang berlainan daripada kolam renang biasa. Taman rekreasi tersebut mempunyai ruang-ruang berasingan bagi kaum Adam dan Hawa untuk bermandi-manda.

Tidak itu sahaja, tiket masuk taman rekreasi itu dijual pada harga serendah antara RM3 hingga RM5 (S$1-S$1.70). Astro Awani difahamkan, kolam renang tahfiz itu tidak putus-putus menerima kunjungan terutama sekali pada waktu cuti umum dan hujung minggu.  

- Agensi berita/AQ/aq

Top