Images
  • perak
    Menteri Besar Perak. (Gambar: Ahmad Faizal Dato' Azumu/Facebook)  

MB Perak, Ahmad Faizal sedia beri kerjasama berhubung siasatan pihak ingin menjatuhkannya

IPOH: Menteri Besar Perak, Encik Ahmad Faizal Azumu bersedia memberi kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan kes terdapat pihak ingin menjatuhkannya.

Katanya beliau tidak mempunyai masalah untuk memberi keterangan setakat pengetahuannya memandangkan beliau tidak mengetahui dengan jelas isu yang dibangkitkan Ketua Pembangkang Encik Saarani Mohamad sebelum ini.

".... kerana saya tak tahu apa cerita (isu menjatuhkan menteri besar), jadi saya cuma boleh beritahu apa yang saya tahu, apa yang saya baca," katanya ketika diminta mengulas laporan SPRM Perak sudah membuka kertas siasatan dan akan menjalankan siasatan mengenai perkara berkenaan.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Seminar Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Perak Tahun 2018 yang turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Zainal Azman Abu Seman hari ini (6 Dis).

Semalam (5 Dis), Exco Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar Dr Abdul Aziz Bari sudah memberi keterangan selama dua jam kepada SPRM Perak mengenai isu fitnah menjatuhkan menteri besar negeri itu.

Selasa lalu, Encik Saarani semasa perbahasan Belanjawan 2019 pada persidangan Dewan Undangan Negeri seolah-olah menggambarkan Dr Abdul Aziz yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Tebing Tinggi sebagai dalang komplot untuk menjatuhkan menteri besar.

Bagaimanapun, Dr Abdul Aziz yang juga Naib Pengerusi DAP Perak menafikannya dan menyifatkan tuduhan Saarani sebagai satu 'cerita kartun' serta gimik murahan untuk menarik perhatian dalam politik. 

- BERNAMA/NA/na

Top