Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

MB Johor: Hati-hati 'Demokrasi Ala Penjajah' DAP

Masyarakat terutama rakyat Johor dinasihati agar berhati-hati dengan taktik ‘Demokrasi Ala Penjajah’ yang dilakukan oleh DAP dalam meraih sokongan dan undi menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Anggaran Waktu Membaca:
MB Johor: Hati-hati 'Demokrasi Ala Penjajah' DAP

Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. (Gambar fail: BERNAMA)

Diterbitkan : 16 Apr 2018 04:29PM Dikemas Kini : 16 Apr 2018 04:35PM

BATU PAHAT: Masyarakat terutama rakyat Johor dinasihati agar berhati-hati dengan taktik 'Demokrasi Ala Penjajah’ yang dilakukan oleh DAP dalam meraih sokongan dan undi menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika memberikan peringatan tersebut berkata taktik yang digunakan itu menonjolkan ciri kononnya mereka tidak berminat menjadi pemimpin teratas atau pemimpin nombor satu.

“Kalau kita lihat cara British datang dahulu, mereka datang dan katakan yang mereka tidak mahu pun menjadi pemimpin kita, dan hanya mahu menjadi penasihat. Tetapi, hakikatnya penasihat British di negara kita pada masa tersebut sangat berkuasa dan menentukan segala urusan kita termasuklah urusan orang Melayu dan agama Islam.

“Dan inilah yang dilakukan oleh pengamal D.A.P (Demokrasi Ala Penjajah) hari ini. Mereka kata mereka tidak berminat merampas kuasa politik orang Melay tetapi setiap hari, fokus mereka adalah untuk memastikan kerusi yang dipegang oleh orang Melayu dirampas dan sanggup melakukan semua ini, biarpun identiti mereka, logo mereka, nama mereka, terpaksa ditukar dan digadaikan. Pada mereka, itu tidak apa... yang penting, mereka menang dan berkuasa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Dialisis Perbadanan Islam Johor dan Pelancaran Skim Pinjaman Usahawan Tabung Wakaf Rakyat Johor hari ini.

Menurut Datuk Seri Mohamed Khaled, ciri-ciri lain dalam taktik itu termasuk menyaksikan DAP kononnya hadir sebagai penyelamat, menampakkan dengan jelas amalan mereka membahagi-bahagikan tanah dan kawasan kepada semua kroni atau sekutu mereka sesuka hati dan kemudiannya lari bertanding ke kawasan lain selepas membuat onar.

“Bukankah itu semua cara penjajah British datang ke Tanah Melayu dahulu? Sekarang lihatlah cara DAP berkempen, mereka akan kata (pentadbiran) negeri semuanya teruk dan mereka datang sebagai penyelamat. Sekarang memang DAP kata kerusi mereka bertanding tidak banyak tetapi kita perlu tahu DAP adalah majoriti dalam minoriti,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, rakyat harus membuat penilaian teliti agar tidak terperangkap dengan taktik itu.

”Saya sangat berharap kita tidak akan menjadi mangsa pengamal Demokrasi Ala Penjajah atau D.A.P ini. Dan saya harap, rakyat tidak akan membiarkan mana-mana kawasan di dalam negeri kita menjadi kawasan tempat ahli politik buangan yang datang mencuba nasib,” katanya.

Dalam pada itu, Datuk Seri Mohamed Khaled yakin Barisan Nasional (BN) mampu mengekalkan majoriti dua pertiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu selain merampas semula beberapa kerusi daripada pembangkang.

“Kita yakin kita akan dapat mengekalkan majoriti dua pertiga seperti dahulu dan untuk kerusi Parlimen akan ada beberapa kerusi yang kita akan dapat balik. Maknanya, daripada 20 kerusi yang ada (BN ada), kita akan dapat tawan semula satu atau dua,” katanya.

Sumber : Bernama/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan