Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Mat Sabu berterima kasih kepada pengkritik, namun tidak terima kritikan berunsur fitnah

Menteri Pertahanan Malaysia, Mohamad Sabu, menegaskan bahawa beliau berterima kasih kepada pengkritiknya, namun tidak akan sesekali menerima sebarang kritikan berbentuk fitnah yang dilemparkan terhadapnya.

Anggaran Waktu Membaca:
Mat Sabu berterima kasih kepada pengkritik, namun tidak terima kritikan berunsur fitnah

Menteri Pertahanan Malaysia, Mohamad Sabu.

Diterbitkan : 11 Aug 2018 05:44PM Dikemas Kini : 11 Aug 2018 05:51PM

KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan Malaysia, Mohamad Sabu, menegaskan bahawa beliau berterima kasih kepada pengkritiknya, namun tidak akan sesekali menerima sebarang kritikan berbentuk fitnah yang dilemparkan terhadapnya.

Encik Mohamad berkata, kritikan dan pandangan sinis adalah perkara biasa yang perlu diambil perhatian sebagai seorang menteri atau sebagai pemimpin kepada sebuah pertubuhan besar.

“Saya berterima kasih kepada sesiapa sahaja yang mengkritik, menegur bahkan mengecam prestasi saya sebagai Menteri Pertahanan.

“Saya menerima kritikan daripada mantan Perdana Menteri, mantan Menteri Pertahanan serta mantan Menteri Belia dan Sukan baru-baru dan saya melihatnya sebagai satu teguran untuk menilai dan memperbaiki prestasi serta kesungguhan untuk menerajui kementerian ini,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu (11 Ogos).

Mantan Perdana Menteri, Najib Razak, dilaporkan sebagai berkata bahawa Encik Mohamad tidak layak memegang jawatan Menteri Pertahanan.

Mantan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, sebelum ini juga dilaporkan mengkritik Encik Mohamad menerusi laman sosial dengan mendakwa beliau merendahkan kemampuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) secara terbuka.

Sementara itu, mantan Menteri Pertahanan, Hishammuddin Hussein, pula dilaporkan berkata bahawa beliau akan menyuarakan pandangannya mengenai pentadbiran semasa Kementerian Pertahanan, bermula dengan keputusan untuk menutup Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman, selepas tempoh bulan madu kerajaan Pakatan Harapan berakhir.

Sumber : Bernama/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan