Images
  • rais yatim
    Encik Rais Yatim. (Gambar: Rais Yatim/Facebook)

Manifesto satu tanggungjawab kepada pengundi, kata Rais Yatim

PORT DICKSON: Manifesto merupakan satu tanggungjawab kepada pengundi dan tidak boleh sewenang-wenangnya diketepikan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH), kata Dr Rais Yatim.

Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sembilan itu berkata manifesto merupakan asas yang membantu pengundi membuat pilihan dalam sesuatu pilihan raya.

Oleh itu, katanya, jika sebahagian besar daripada manifesto itu tidak menjadi kenyataan maka kerajaan PH akan menerima kritikan rakyat.

“Sekiranya tidak boleh dilaksanakan, PH perlu wujudkan satu panel khusus untuk melihat semula manifesto...yang penting rakyat tahu yang perkara-perkara ini dikaji dengan teliti.

“Jika kita tidak buat begitu maknanya apa guna kita ada manifesto dan kita tak boleh lari daripada tanggungjawab itu,” katanya kepada para wartawan ketika ditemui, malam semalam (10 Okt).

Baru-baru ini, bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Cik Rafidah Aziz dilaporkan berkata beliau terkilan kerana Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pernah memberitahunya akan memegang portfolio Kementerian Pendidikan, namun tidak dilakukannya kerana janji manifesto.

Cik Rafidah yang pernah menerajui Wanita UMNO turut mengingatkan bahawa tidak mustahil kerajaan PH akan kehilangan kuasa sekiranya tidak dapat membuat keputusan penting hanya kerana terikat dengan manifesto yang dijanjikan.  

- BERNAMA/NA/na

Top