Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Malaysia sahkan kes jangkitan Zika yang ke-8

Satu lagi kes jangkitan virus Zika dikesan di Malaysia melibatkan seorang lelaki berusia 67 tahun dari Petaling Jaya, menjadikan jumlah keseluruhan lapan kes dilaporkan di negara itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Malaysia sahkan kes jangkitan Zika yang ke-8

Operasi pengkabutan di sebuah sekolah di Kuala Lumpur. (Gambar fail: MOHD RASFAN / AFP)

Diterbitkan : 18 Dec 2016 04:30PM Dikemas Kini : 18 Dec 2016 05:21PM

KUALA LUMPUR: Satu lagi kes jangkitan virus Zika dikesan di Malaysia melibatkan seorang lelaki berusia 67 tahun dari Petaling Jaya, menjadikan jumlah keseluruhan lapan kes dilaporkan di negara itu.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata pihaknya menerima laporan jangkitan itu pada 14 September lalu yang dikesan melalui Sistem Pemantauan Virus Zika.

Beliau berkata pesakit mengalami gejala demam, loya dan cirit-birit pada 28 November dan menerima rawatan pertama pada 30 November di Klinik Kesihatan Tangling di Kuala Lumpur, tetapi ujian darah tidak menunjukkan kelainan yang signifikan.

"Pada 1 Disember, pesakit kembali ke klinik dengan gejala bisa badan dan sendi namun saringan denggi menunjukkan keputusan negatif, dan kes dilaporkan ke Pejabat Kesihatan Petaling sebagai disyaki denggi dan pesakit diminta kembali setiap hari bagi memantau ujian darah.

"Sampel darahnya telah diambil dan dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) Sungai Buloh untuk ujian flavivirus yang lain (demam kuning, chikungunya dan Zika) selaras dengan protokol saringan flavivirus kebangsaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini (18 Dis).

Dr Noor Hisham berkata pada 9 Disember, MKAK memaklumkan keputusan positif bagi Zika dan sampel dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) untuk pengesahan di samping sampel tambahan air kencing, dan IMR mengesahkan ia juga positif bagi Zika pada 14 Disember.

Katanya aktiviti kawalan sudah dilaksanakan di lokaliti kediaman dan tempat-tempat lain yang pernah dilawati pesakit di samping mengambil sampel darah dan air kencing keluarga terdekat untuk ujian saringan Zika.

"Selain itu, 'Active Case Detection' sedang dijalankan di kawasan kediaman kes untuk mengenal pasti sekiranya ada penduduk setempat yang mengalami gejala Zika," katanya.

Beliau berkata masyarakat dinasihatkan untuk memastikan kawasan di dalam dan di luar rumah sentiasa bersih dan bebas daripada tempat pembiakan nyamuk Aedes dan mengambil langkah-langkah perlindungan diri daripada gigitan nyamuk.

"Bagi individu yang mengalami gejala Zika seperti demam, ruam, sakit kepala, sakit otot dan konjunktivitis serta pernah melawat ke negara endemik Zika atau mempunyai hubungan kepada pesakit Zika, hendaklah berjumpa doktor dengan kadar segera," katanya.

Sumber : Bernama/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan