Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Mahkamah tolak sijil tukar agama 2 kanak-kanak

Mahkamah Tinggi mengetepikan sijil penukaran agama dua kanak-kanak, yang ditukar agama kepada Islam secara unilateral oleh ibu mereka, seorang mualaf, selepas memutuskan bahawa mahkamah itu terikat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes M. Indira Ghandi.

Anggaran Waktu Membaca:
Mahkamah tolak sijil tukar agama 2 kanak-kanak

Indira Gandhi belum berjumpa anak perempuannya Prasana selama tujuh tahun. (Gambar: Melissa Goh)

Diterbitkan : 17 Oct 2018 07:57AM Dikemas Kini : 17 Oct 2018 08:05AM

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi mengetepikan sijil penukaran agama dua kanak-kanak, yang ditukar agama kepada Islam secara unilateral oleh ibu mereka, seorang mualaf, selepas memutuskan bahawa mahkamah itu terikat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes M. Indira Ghandi.

Hakim Azizah Nawawi membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman seorang ahli perniagaan beragama Buddha bagi mengetepikan sijil penukaran agama anak perempuannya berusia 10 tahun dan anak lelakinya, 5 tahun, yang dikemukakan bekas isterinya yang kini beragama Islam.

Dalam penghakimannya, Hakim Azizah berkata mahkamah itu terikat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan seorang guru tadika, Indira Ghandi, yang mencabar penukaran agama tiga anaknya kepada Islam oleh bekas suaminya, Muhammad Riduan Abdullah.

"Tidak dipertikaikan bahawa penukaran itu dibuat tanpa persetujuan kedua-dua ibu bapa. Oleh itu, mahkamah membenarkan semakan kehakiman yang dikemukakan pemohon dan mengetepikan sijil penukaran agama dua kanak-kanak berkenaan," kata beliau tanpa mengeluarkan perintah tentang kos.

Hakim Azizah juga memerintahkan Ketua Pengarah Jawi (Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan) dan Pendaftar Muallaf Wilayah Persekutuan menjadi responden bagi permohonan membuang nama kanak-kanak itu daripada senarai daftar Muallaf.

HAK PENJAGAAN ANAK

Mahkamah juga menolak permohonan peguam Sulaiman Abdullah, yang mewakili Pendaftar Muallaf Wilayah Persekutuan, bagi mendapatkan penangguhan perintah itu sementara menunggu keputusan rayuan terhadap keputusan semalam (16 Okt) di Mahkamah Rayuan.

Pada 14 September 2018, Mahkamah Rayuan memberi hak penjagaan penuh dua kanak-kanak itu kepada bapa mereka setelah membenarkan rayuan ahli perniagaan itu untuk mengubah keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang memberi hak penjagaan kanak-kanak berkenaan kepada ibu mereka, yang berusia 42 tahun.

Dalam permohonan difailkan pada 14 Jun 2016, ahli perniagaan itu menamakan Ketua Pengarah Jawi, Pendaftar Muallaf Wilayah Persekutuan, Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan, Kerajaan Persekutuan dan ibu kanak-kanak berkenaan sebagai responden.

Ahli perniagaan berusia 46 tahun itu, yang diwakili peguam K. Shanmuga, memohon mengetepikan penukaran agama dua anaknya oleh bekas isterinya itu.

Beliau juga memohon injunksi bagi menghalang semua responden daripada mendaftarkan atau menyebabkan berlaku pendaftaran penukaran agama kanak-kanak itu kepada Islam.

SIJIL TUKAR AGAMA TIDAK LAGI SAH

Ahli perniagaan itu turut memohon perintah pembatalan semua dokumen yang berada dalam simpanan Pendaftar Muallaf atau Kementerian Pendidikan.

Secara alterrnatif, beliau juga memohon perisytiharan bahawa sijil penukaran agama dua anaknya itu adalah tidak sah dan terbatal.

Ketika ditemui di luar mahkamah, peguam Rohani Ibrahim, yang mewakili ibu kanak-kanak berkenaan, berkata mereka akan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu secepat mungkin.

Beliau juga memberitahu pemberita bahawa mereka sudah memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan pada Khamis lalu (11 Okt) terhadap keputusan Mahkamh Rayuan, yang memberi hak penjagaan penuh dua kanak-kanak berkenaan kepada bapa mereka. 

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan