Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Mahkamah gesa kerajaan M'sia sahkan 44 unit barang kemas Rosmah dirampas polis

Mahkamah Tinggi hari ini (11 Okt) mengarahkan kerajaan memfailkan afidavit untuk mengesahkan sama ada 44 unit barang kemas bernilai AS$14.79 juta (S$20.4 juta), yang dikatakan dihantar kepada Cik Rosmah Mansor oleh syarikat menjual barang kemas di Lubnan, dirampas polis.

Anggaran Waktu Membaca:
Mahkamah gesa kerajaan M'sia sahkan 44 unit barang kemas Rosmah dirampas polis

Rosmah Mansor sebelum ini dijangka berdepan lebih 20 tuduhan termasuk pengubahan wang haram. (Gambar fail: BERNAMA)

Diterbitkan : 11 Oct 2018 09:58PM Dikemas Kini : 11 Oct 2018 10:00PM

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini (11 Okt) mengarahkan kerajaan memfailkan afidavit untuk mengesahkan sama ada 44 unit barang kemas bernilai AS$14.79 juta (S$20.4 juta), yang dikatakan dihantar kepada Cik Rosmah Mansor oleh syarikat menjual barang kemas di Lubnan, dirampas polis.

Pesuruhjaya Kehakiman Wong Chee Lin mengeluarkan perintah itu selepas Peguam Kanan Persekutuan Izham Marzuki, yang mewakili kerajaan, memberitahu mahkamah bahawa mereka tidak dapat mengesahkan sama ada 44 unit barang kemas itu adalah sebahagian daripada 12,000 unit yang dirampas oleh polis dalam serbuan di premis-premis yang dikaitkan dengan mantan Perdana Menteri Najib Razak.

"Saya ingin kerajaan kembali dalam tempoh dua minggu bersama afidavit untuk mengesahkan sama ada 44 keping barang kemas dirampas oleh polis dan meminta defendan (Rosmah) untuk membantu mengenal pasti barang kemas itu," kata Encik Wong.

Beliau berkata isteri mantan PM Najib Razak itu adalah orang yang terbaik sekali untuk membuktikannya.

"Kami berharap beliau dapat membantu kerana beliau adalah orang yang terbaik untuk mengenal pasti barang kemas tersebut," katanya yang kemudian menetapkan dua hari bermula 4 Mac 2019 untuk perbicaraan.

ROSMAH DIMINTA SAHKAN BARANG KEMAS DIRAMPAS KERAJAAN

Encik Wong kemudian menolak permohonan oleh Cik Rosmah, yang dinamakan sebagai defendan dalam kes saman difailkan oleh syarikat dari Lubnan, Global Royalty Trading SAL, untuk membatalkan saman tersebut tanpa mendengar hujah daripada semua pihak berkaitan.

Bagaimanapun, beliau berkata, Cik Rosmah boleh memfailkan permohonan baru selepas dibuktikan bahawa barang kemas itu dirampas. Terdahulu peguam Cik Rosmah, Encik Rajivan Nambiar memberitahu mahkamah bahawa kerajaan harus kembali ke mahkamah dan mengesahkan mengenai rampasan barang itu.

"(Rosmah) menyatakan pendirian bahawa barang kemas itu dirampas tetapi kerajaan tidak dapat mengesahkannya, " kata Encik Rajivan.

Kerajaan dinamakan sebagai defendan kedua dalam saman itu selepas berjaya dalam permohonan untuk menjadi pencelah dalam kes saman tersebut. Pada mulanya Cik Rosmah adalah defendan tunggal.

KERAJAAN PERCAYA BARANG KEMAS DIBELI GUNA WANG CURI

Kerajaan memohon untuk menjadi sebahagian daripada pihak dalam kes saman oleh Global Royalty terhadap Cik Rosmah atas alasan bahawa barang kemas itu adalah milik kerajaan dan dibeli dengan wang yang dicuri.

Global Royalty menyaman Rosmah pada 26 Jun, menuntut beliau memulangkan 44 unit barang kemas yang dihantar kepadanya untuk dipilih atau membayar harga untuk semua barangan kemas berkenaan berjumlah AS$14.79 juta (S$20.4 juta).

Dalam pernyataan tuntutannya, Global Royalty, pemborong barang kemas antarabangsa, mendakwa bahawa Cik Rosmah sudah lama menjadi pelanggan tetapnya dan ia akan menghantar konsaimen barang kemas kepadanya atas permintaan beliau. Cik Rosmah kemudian akan menilai atau membeli barang kemas pilihannya yang akan dibayar sendiri olehnya atau melalui pihak ketiga.

Syarikat itu, yang membekalkan barang kemas kepada kerabat diraja serta pelanggan ternama dari seluruh dunia, mendakwa bahawa barang kemas yang tidak dipilih biasanya akan dipulangkan dan, dalam keadaan tertentu, Cik Rosmah akan meminjam beberapa barang kemas itu dan memulangkannya kepada plaintif.

Syarikat itu mendakwa pada 10 Februari tahun ini, ia sudah menghantar 44 set barang kemas, termasuk kalung berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara, masing-masing bernilai antara AS$124,000 (S$171,000) dan AS$925,000 (S$1.2 juta) kepada defendan melalui serahan tangan menerusi dua ejennya.

TIDAK BELI, HANYA DIHANTAR KERANA "ISTERI MANTAN PERDANA MENTERI"

Global Royalty berkata semasa serahan, Cik Rosmah mengesahkan dan menerima terma-terma dan syarat yang terkandung dalam Memorandum No. 926 berkaitan barang kemas tersebut.

Syarikat itu mendakwa bahawa Cik Rosmah, melalui surat bertarikh 22 Mei, juga mengesahkan dan mengakui menerima barang kemas itu tetapi menyatakan kesemua barang kemas itu tidak lagi berada dalam milikannya kerana dirampas dan ia kini berada di bawah jagaan pihak berkuasa Malaysia.

Firma itu mendakwa bahawa sepanjang masa material, plaintif adalah pemilik barang kemas tersebut dan pemilikan itu tidak pernah dipindahkan kepada defendan.

Global Royalty memohon pengisytiharan mahkamah bahawa firma itu adalah pemilik sah 44 unit barang kemas itu selain perintah pesanan yang menyatakan bahawa pemilikan barang kemas itu tidak pernah dipindahkan kepada defendan.

Ia juga memohon perintah mandatori supaya Cik Rosmah menyediakan senarai barang kemas yang dirampas, perintah untuk barang kemas itu dipulangkan atau, jika tidak, Cik Rosmah akan bertanggungjawab membayar harga barangan berjumlah, AS$14.79 juta (S$20.4 juta).

Cik Rosmah, dalam pernyataan pembelaannya yang difailkan pada 23 Julai, menafikan membeli mana-mana 44 unit barang kemas dan berkata barang kemas itu dihantar kepada beliau untuk dilihat atas sifat beliau sebagai isteri Perdana Menteri Malaysia dan kehendak serta kerelaan syarikat itu sendiri, tanpa sebarang obligasi untuk beliau membeli barang kemas tersebut. 

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan