Images
  • Mahathir Mohamad

Mahathir tidak jadi sandang jawatan Menteri Pelajaran, hormati manifesto Pakatan Harapan

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri baru Malaysia Dr Mahathir Mohamad tidak akan menyandang jawatan Menteri Pelajaran selepas orang ramai merujuk kepada manifesto Pakatan Harapan yang berjanji bahawa perdana menteri tidak akan memegang dua portfolio.

"Saya tidak boleh mungkir (janji manifesto) buat masa ini," kata beliau dalam satu video yang dimuat naik ke laman Facebook partinya hari ini (18 Mei).

"Ini selagi tiada permintaan untuk saya menyandang portfolio (menteri) pelajaran."

Pada Khamis (17 Mei), Dr Mahathir ada mengumumkan bahawa beliau mahu menyentuh tentang pendidikan di sidang medianya. Beliau juga sempat berseloroh bahawa "ramai orang kurang berpendidikan di negara ini, jadi saya perlu memberikan tumpuan".

Walaupun pengumuman beliau dialu-alukan ramai, sesetengah pihak menarik perhatian kepada manifesto Pakatan Harapan yang berikrar bahawa "Perdana Menteri tidak akan menyandang tugas menteri lain, terutama sekali Menteri Kewangan".

Beberapa laporan turut mendakwa bahawa sebilangan pemimpin Pakatan Harapan berpendapat bahawa Perdana Menteri tidak boleh memegang jawatan Menteri Kewangan.

Menurut ketua DAP, Lim Kit Siang, beliau sendiri "terkejut" dengan pengumuman itu.

"Selain PM tidak boleh jadi FM, saya tidak menyedari bahawa manifesto PH turut menegaskan PM tidak boleh pegang portfolio lain," kata beliau menerusi Twitter.  

- CNA/FA/fa

Top