Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Mahathir, Siti Hasmah imbau kenangan bercinta di universiti S'pura

Kunjungan semula Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Dr Siti Hasmah Mohamad Ali ke alma mater mereka, mengembalikan nostalgia kenangan manis semasa mereka belajar di situ satu ketika dahulu.

Anggaran Waktu Membaca:
Mahathir, Siti Hasmah imbau kenangan bercinta di universiti S'pura

Dr Mahathir dan isterinya semasa di Universiti Nasional Singapura. (Gambar: NUS/Facebook)

Diterbitkan : 14 Nov 2018 12:29AM Dikemas Kini : 14 Nov 2018 12:38AM

SINGAPURA: Kunjungan semula Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Dr Siti Hasmah Mohamad Ali ke alma mater mereka, Kolej Perubatan King Edward VI, yang kini merupakan sebahagian daripada Universiti Nasional Singapura (NUS), mengembalikan nostalgia kenangan manis semasa mereka belajar di situ satu ketika dahulu.

Ketibaan Dr Mahathir, yang menamatkan pengajian di kolej itu pada 1953, disambut oleh Menteri Kesihatan Singapura, Gan Kim Yong.

King Edward's ditubuhkan pada 1552.

Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah meluangkan masa sekitar setengah jam untuk bersiar-siar di sekitar kawasan kolej yang kini menempatkan Kementerian Kesihatan Singapura, Majlis Perubatan Singapura dan Kolej Ahli Perubatan Keluarga.

Dewan syarahan kini bertukar menjadi sebuah auditorium dan Dr Siti Hasnah turut diusik dengan pertanyaan sama ada tumpuan beliau pada waktu itu adalah pada kuliah atau pada Dr Mahathir kerana umum mengetahui bahawa kedua-duanya yang kini melepasi usia 90 tahun, bertemu jodoh ketika sama-sama belajar di situ.

(Gambar-gambar: NUS/Facebook)

Dr Siti Hasmah secara berseloroh menjawab: "Kedua-duanya."

BERTEMU DENGAN RAKAN LAMA DI S'PURA

Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah kemudian mengadakan pertemuan dengan para alumni dan beramah mesra dengan mereka termasuk dengan tujuh orang bekas rakan sekelas mereka.

Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah turut dihadiahkan dengan gambar klasik dalam hitam putih oleh pengerusi alumni, Lai Kah Weng.

Mereka sempat meluangkan masa untuk beramah mesra dengan ketujuh-tujuh bekas rakan sekelas mereka itu.

Disebabkan kesibukan tugas, Dr Mahathir berkata beliau tidak dapat menghadiri jamuan makan malam alumni pada tahun ini.

"Saya akan mengadakan lawatan ke Papua New Guinea (mesyuarat APEC) tetapi saya berharap anda semua akan bergembira meraikannya dan merapatkan hubungan."

Dr Mahathir berkata beliau berharap dapat menghadiri jamuan malam alumni yang berikutnya, sambil menambah: "Saya kata saya cuma berharap, kerana apabila anda sudah mencapai usia 94 tahun, anda tidak begitu pasti tentang masa depan." 

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan