Images
  • mahathir
    Gambar: Mohd Rasfan/AFP

Mahathir calon Pakatan Harapan di Langkawi

LANGKAWI: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad diumumkan sebagai calon pakatan pembangkang itu untuk bertanding kerusi Parlimen Langkawi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pengumuman berkenaan dibuat oleh Timbalan Pengerusi PH yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail semalam (15 Apr).

Sebelum itu, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sendiri mengumumkan calon daripada partinya yang akan bertanding bagi enam kerusi parlimen dan 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah.

Semua calon PH akan bertanding di bawah simbol tunggal PKR.

Selain PKR, tiga lagi parti komponen PH ialah PPBM, Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP.

Antara calon PPBM yang lain adalah mantan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang akan bertanding di Parlimen Jerlun dan DUN Jitra.

Calon lain yang akan bertanding kerusi Parlimen adalah Datuk Ir Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu), Wan Saiful Wan Jan (Pendang), Mohd Taufik Yaacob (Baling) dan Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi (Jerai).

Calon DUN pula adalah Datuk A. Aziz Mohamud (Ayer Hitam), Halimahton Saadiah Saad (Bukit Kayu Hitam), Datuk Ir Amiruddin Hamzah (Anak Bukit), Mohd Aizad Roslan (Bukit Lada), Syed Fadzil Syed Embun (Kuala Nerang) dan Abdul Razak Khamis (Sungai Tiang).

Mohd Nazari Abu Hassan (Jeneri), Abdul Rahim Kechik (Bayu), Mohd Saffuan Sabari (Guar Chempedak), Mejar (B) Annuar Abd Hamid (Tanjung Dawai), Datuk Azimi Daim (Bandar Baru), Johari Bulat (Air Hangat) dan Mohd Firdaus Ahmad (Kuah).  

- BERNAMA/SM/sm

Top