Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Mahathir berharap China akan menyerahkan Jho Low jika berita penangkapannya benar

"Saya tidak tahu beliau diberkas, terima kasih kerana memberitahu saya," kata Dr Mahathir kepada pihak media ketika ditanya tentang laporan itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 19 Jul 2018 03:55PM Dikemas Kini : 19 Jul 2018 09:14PM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad berkata pada Khamis (19 Jul) bahawa beliau berharap China akan menyerahkan ahli perniagaan Jho Low, yang dikehendaki pihak berkuasa berhubung penyiasatan 1MDB - jika berita tentang penangkapannya adalah benar.

"Saya tidak tahu beliau diberkas, terima kasih kerana memberitahu saya," kata Dr Mahathir kepada pihak media ketika ditanya tentang laporan itu.

"Saya harap beliau diberkas dan dibawa pulang ke Malaysia ... Kita tidak mempunyai perjanjian ekstradisi namun ini tidak bermakna China tidak boleh menyerahkan beliau."

Dr Mahathir berkata pada Khamis bahawa beliau bercadang untuk mengadakan pertemuan dengan Presiden China Xi Jingping pada Ogos. Antara yang dijangka dibincangkan adalah rundingan semula kontrak projek mega dan pertikaian wilayah di Laut China Selatan.

Menukil media Hong Kong, akhbar tabloid Malaysia, China Press, melaporkan pada Rabu bahawa Jho Low atau nama sebenarnya Low Taek Jho sudah ditahan.

"Anda lebih tahu daripada Perdana Menteri Malaysia," jawab Dr Mahathir dengan seloroh apabila ditanya tentang berita tersebut.

Jho Low dikehendaki oleh pihak berkuasa berhubung siasatan 1MDB.

Beliau dilaporkan berpindah dari satu lokasi ke satu lokasi dan berkemungkinan sudah melawat Phuket, Hong Kong, Macau, Shanghai dan Bangkok sejak beberapa bulan yang lalu.

Pasport Malaysia miliknya sudah dibatalkan namun Jho Low dikatakan mempunyai satu lagi pasport yang dikeluarkan oleh Saint Kitts dan Nevis di Carribean.

Minggu lalu Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun berkata Low dipercayai sudah meninggalkan Macau, lokasi terakhir beliau dikesan.

Sumber : CNA/BERNAMA/TQ/kn
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan