Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Mahathir arahkan saya bongkar skandal, kata Lim Guan Eng

Menteri Kewangan Malaysia Lim Guan Eng menjelaskan bahawa beliau membuat pendedahan berkenaan skandal kewangan seperti yang melibatkan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) atas arahan perdana menteri.

Anggaran Waktu Membaca:
Mahathir arahkan saya bongkar skandal, kata Lim Guan Eng

Dr Mahathir Mohamad dan Encik Lim Guan Eng (Gambar fail: BERNAMA)

Diterbitkan : 20 Jun 2018 03:16PM Dikemas Kini : 20 Jun 2018 03:22PM

PUTRAJAYA: Menteri Kewangan Malaysia Lim Guan Eng menjelaskan bahawa beliau membuat pendedahan berkenaan skandal kewangan seperti yang melibatkan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) atas arahan perdana menteri.

"Saya bukan perdana menteri dan tidak mempunyai kuasa untuk mengarahkan menteri lain mendedahkan skandal kewangan di bawah skop kementerian saya," kata beliau sebagai respons kepada komen ketua umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Anwar Ibrahim.

Encik Anwar memberi komen semasa satu wawancara bersama Astro Awani yang Encik Lim sepatutnya memberi tumpuan kepada usaha mengukuhkan keyakinan para pelabur dan membiarkan kerja-kerja mendedahkan salah laku kepada kementerian serta agensi kerajaan yang lain.

Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP) itu berkata dalam satu kenyataan bahawa beliau menghargai pandangan Encik Anwar dan maklum balas orang ramai tentang bagaimana untuk menyelamatkan ekonomi.

Menurut beliau, Encik Anwar faham bahawa skandal-skandal berkenaan didedahkan kepada pihak media atas arahan perdana menteri dan juga bersetuju bahawa rakyat tidak mahu kerajaan menyembunyikan kedudukan kewangan sebenar.

Maka itu kata beliau, kementeriannya akan terus mendedahkan semua skandal kewangan dalam masa seratus hari pertama kerajaan baru itu, sepertimana diarahkan oleh perdana menteri.

"Kita mesti berani menegakkan kebenaran," tambah beliau.

Encik Anwar menasihati Encik Lim supaya mengimbangi antara mendedahkan skandal dengan membangkitkan keyakinan dalam kalangan pelabur.

Beliau juga berkata Encik Lim sepatutnya mengeluarkan kenyataan secara berhemah kerana ia akan dijadikan bahan rujukan oleh pelabur.

Encik Lim, yang sudah bertemu Encik Anwar beberapa kali untuk menerangkan tentang situasi ekonomi dan bagaimana skandal-skandal tersebut menggoyahkan kewangan negara, berkata bahawa kedudukan kewangan kerajaan persekutuan terjejas akibat hutang bernilai lebih RM1 trilion (S$338.6 bilion), sepertimana didedahkan oleh perdana menteri, menyusuli skandal 1MDB dan perbelanjaan berlebihan kerajaan sebelumnya.

Encik Lim berkata kementerian kewangan sudah melakarkan rancangan alternatif untuk menguruskan hutang RM1 trilion dengan menangguhkan projek dan menjimatkan perbelanjaan.

"Langkah-langkah berbelanja dengan berhemat dilaksanakan tanpa memburukkan defisit belanjawan, yang akan tetap pada kadar 2.8 peratus hasil dalam negeri kasar," tambah beliau.

Encik Lim juga berkata beliau sudah bertemu beberapa pelabur dan pengurus dana tempatan dan luar negara untuk menerangkan dasar kewangan negara. 

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan