Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Madinah pertahan dakwaan laporan akhir audit 1MDB diubah

Ketua Audit Negara Malaysia Dr Madinah Mohamad mempertahankan kenyataannya sebelum ini bahawa Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dibentangkan di Parlimen pada 2016 sudah diubah.

Anggaran Waktu Membaca:
Madinah pertahan dakwaan laporan akhir audit 1MDB diubah

(Gambar Fail: Reuters/Olivia Harris)

Diterbitkan : 05 Dec 2018 10:40PM Dikemas Kini : 05 Dec 2018 10:42PM

KUALA LUMPUR: Ketua Audit Negara Malaysia Dr Madinah Mohamad mempertahankan kenyataannya sebelum ini bahawa Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dibentangkan di Parlimen pada 2016 sudah diubah.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Parlimen Dr Ronald Kiandee berkata Dr Madinah yang hadir sebagai saksi kedua dalam prosiding PAC berhubung dakwaan perubahan yang dilakukan ke atas laporan itu, memberikan keterangan yang selari dengan kenyataan mengenai perkara berkenaan sebelum ini.

"Kita dapat banyak keterangan dari Madinah dan pasukannya hari ini... Ia seperti apa yang dinyatakannya dalam kenyataan akhbarnya sebelum ini bahawa Laporan Ketua Audit Negara (berkaitan 1MDB) telah diubah.

"Beliau beri keterangan bagi menunjukkan bahawa laporan itu telah diubah," katanya kepada pemberita selepas prosiding kira-kira tiga jam itu di bangunan Parlimen pada Rabu (5 Dis).

Dalam kenyataan bertarikh 24 November lalu, Dr Madinah mendedahkan bahawa beberapa bahagian dalam laporan akhir audit 1MDB itu digugur atau dipinda atas arahan individu termasuk bekas perdana menteri merangkap bekas menteri kewangan Najib Razak, dan bekas ketua setiausaha sulit kepada Encik Najib, Encik Shukry Mohd Salleh.

Dr Kiandee berkata beliau berpuas hati dengan perjalanan prosiding berkenaan dan penjelasan yang diberikan Dr Madinah.

"Saya rasa tidak ada keperluan untuk memanggilnya semula," katanya dan menambah bahawa beberapa nama baru juga timbul pada prosiding hari ini dan akan dipanggil untuk memberi keterangan.

Beliau berkata pada prosiding seterusnya esok, PAC akan memanggil bekas pengarah Sektor Audit Kerajaan, Saadatul Nafisah untuk memberi keterangan.
Katanya, esok hari terakhir prosiding siasatan ke atas isu berkenaan tahun ini sebelum disambung Januari tahun hadapan.

Sementara itu, Dr Madinah yang enggan mengulas panjang berkata laporan audit berkenaan 1MDB yang asal sebelum diubah sudah diserahkan kepada pihak PAC untuk rujukan. 

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan