Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

M'sia utamakan keselamatan pengunjung di Sukan SEA 2017

Menurut Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar, 12,000 kakitangan polis akan dikerahkan sepanjang temasya yang diadakan sekali dalam dua tahun ini.

Anggaran Waktu Membaca:
M'sia utamakan keselamatan pengunjung di Sukan SEA 2017

Seorang anggota polis Malaysia menjalani latihan di Stadium Bukit Jalil menjelang Sukan SEA 2017. (Gambar: MANAN VATSYAYANA/AFP)

Diterbitkan : 12 Aug 2017 04:55PM Dikemas Kini : 12 Aug 2017 04:57PM

KUALA LUMPUR: Para pegawai Malaysia mahu para kontinjen dan pengunjung tahu bahawa pihaknya tidak memandang ringan terhadap isu keselamatan di Sukan Asia Tenggara (SEA) 2017.

Menteri Belia dan Sukan Malaysia Khairy Jamaluddin memberitahu Mediacorp bahawa sebuah jawatankuasa peringkat tinggi dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi ditubuhkan bagi memastikan keselamatan di tahap tertinggi mungkin.

"Anda tahu pada zaman ini, acara gah sebegini ... anda bayangkan majlis pembukaan dengan 100,000 orang dalam sekitaran terkawal, itulah satu perkara yang harus kami lindungi," katanya.

"Jadi kami bukan saja sudah berbincang dengan pihak polis, khidmat keselamatan tetapi juga kepada semua orang yang terlibat dalam temasya ini termasuk 13,000 sukarelawan - bahawa mereka akan menjadi mata, telinga khidmat keselamatan kami."

Menurut Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar, 12,000 kakitangan polis akan dikerahkan sepanjang temasya yang diadakan sekali dalam dua tahun ini.

Para pegawai Unit Tindakan Khas (UTK) dan Komander 69 (VAT 69) akan ditempatkan di setiap tempat acara temasya itu sementara para atlit dan pegawai akan diiring dari hotel mereka.

Alat pengimbas X-ray dan pengesan radiasi juga akan digunakan di semua tempat acara.

Para pegawai anti-pengganasan dan pihak berkuasa imigresen pula menerajui operasi besar-besaran untuk menahan warga asing tanpa dokumen sah dan sesiapa yang ada kaitan dengan pihak militan menjelang Sukan SEA itu.

Dalam latihan yang diadakan di merata Malaysia seperti Pusat Konvensyen KL berdekatan Menara Kembar Petronas dan hab pengangkutan KL Sentral, para pasukan keselamatan Malaysia bersiap sedia menangani pelbagai senario termasuk tunjuk-tunjuk perasaan.

"Saya beri jaminan kepada semua pengunjung, atlit dan pegawai bahawa Sukan SEA ini satu temasya yang selamat. Jadi, semua orang dialu-alukan untuk menikmati temasya tersebut," kata Encik Khalid.

Sumber : CNA/RU/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan