Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

M'sia saran kepada S'pura agar kedua-dua pihak 'berhenti' hantar aset

Malaysia menyarankan kepada Singapura agar kedua-dua negara 'berhenti' daripada menghantar aset-aset ke kawasan yang disifatkan sebagai 'kawasan dipertikai' mulai tengah malam pada 8 Disember, menurut Menteri Ehwal Luar Malaysia Saifuddin Abdullah pada Jumaat (7 Dis).

Anggaran Waktu Membaca:
M'sia saran kepada S'pura agar kedua-dua pihak 'berhenti' hantar aset

(Gambar: Roslan Rahman/AFP)

Diterbitkan : 07 Dec 2018 11:07PM Dikemas Kini : 07 Dec 2018 11:11PM

SINGAPURA: Malaysia menyarankan kepada Singapura agar kedua-dua negara 'berhenti' daripada menghantar aset-aset ke kawasan yang disifatkan sebagai 'kawasan dipertikai' mulai tengah malam pada 8 Disember, menurut Menteri Ehwal Luar Malaysia Saifuddin Abdullah pada Jumaat (7 Dis).

"Tindakan untuk berhenti menghantar aset akan diambil tanpa sebarang prasangka terhadap kedudukan Malaysia atau Singapura berhubung tuntutan sempadan maritim yang dipersoalkan," kata beliau dalam satu kenyataan media.

Encik Saifuddin juga berkata bahawa Malaysia sudah menyarankan untuk mengadakan satu mesyuarat dengan Singapura bagi menghuraikan isu sempadan maritim antara kedua-dua negara.

"Kerajaan Malaysia berharap mesyuarat itu akan diadakan pada pertengahan bulan ini," kata beliau sambil menambah bahawa saranan-saranan itu disampaikan menerusi Pesuruhjaya Singapura ke Malaysia.

Kenyataan Malaysia itu dikeluarkan selepas Menteri Pertahanan Singapura Ng Eng Hen memberi amaran kepada kapal-kapal kerajaan Malaysia di Singapura supaya meninggalkan perairan itu.

Semasa sidang media yang diadakan semalam (6 Dis), Menteri Pengangkutan Khaw Boon Wan berkata terdapat 14 pencerobohan oleh kapal-kapal kerajaan Malaysia di perairan Singapura sepanjang dua minggu lalu.

Pencerobohan itu berlaku selepas Malaysia memperluaskan batas pelabuhan Johor Bahru pada bulan Oktober - iaitu satu langkah yang disifatkan oleh Singapura sebagai "pelanggaran serius" terhadap kedaulatannya dan undang-undang antarabangsa.

Singapura sudah mengemukakan "bantahan keras" kepada Malaysia berhubung langkah negara itu untuk meluaskan had pelabuhannya. Singapura juga sudah meminta Malaysia supaya meminda pemberitahuan warta di mana perubahan-perubahan diumumkan pada bulan Oktober.

Encik Khaw juga menekankan bahawa Singapura tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap sebarang pencerobohan atau kegiatan tanpa kebenaran di perairan Singapura.

Pada Khamis (6 Dis), Encik Khaw juga mengumumkan bahawa berdasarkan "perkembangan provokatif", Singapura sudah memutuskan untuk memperluaskan batas pelabuhannya di Tuas.

Sebagai respons, Encik Saifudin berkata pada Jumaat (7 Dis) bahawa Malaysia sudah mengemukakan bantahannya kepada Singapura berhubung keputusan negara ini untuk memperluaskan batas pelabuhannya, dengan menyifatkan langkah itu sebagai "dengan jelas melanggar kedaulatan Malaysia dan undang-undang antarabangsa".

Beliau menambah: "Semua pemerintah semestinya mempunyai tanggungjawab untuk mempertahankan kedaulatan negara, dan adalah tanggungjawab setiap orang untuk berdiri teguh dan menyokong pemerintah sekiranya ini berlaku. Malaysia akan mengambil langkah sama jika perlu.

"Bagaimanapun, bukan semua percanggahan harus dilihat sebagai mencabar sesuatu prinsip. Sebaliknya, semua percanggahan mesti dihuraikan menerusi dialog dan semangat kerjasama."

Pada awal minggu ini, Kementerian Pengangkutan (MOT) menyatakan bahawa Singapura sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan Malaysia bagi menghuraikan perkara ini secara aman, berdasarkan undang-undang antarabangsa. 

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan