Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

M'sia perlu dipulihkan agar dihormati semula, tegas Dr Mahathir

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata tugas pentadbiran sekarang adalah memulihkan negara dan menjadikan Malaysia dihormati semula serta dipandang tinggi di seluruh dunia.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 21 May 2018 11:20AM Dikemas Kini : 22 May 2018 12:10AM

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata tugas pentadbiran sekarang adalah memulihkan negara dan menjadikan Malaysia dihormati semula serta dipandang tinggi di seluruh dunia.

Beliau berkata ia merupakan satu perjuangan agar negara dapat kembali ditadbir dengan baik dan berjaya dalam pembangunan serta dikenali sebagai negara yang mampu mendirikan diri sendiri atas usaha sendiri.

"Kita harus sedar bahawa sekarang negara kita tidak dihormati seperti dahulu. Saya amat kecewa kerana sebuah pentadbiran yang dahulu dikenali sebagai terbaik dalam Komanwel kerana dapat menjalankan tugas dengan baik dan melaksanakan program serta perancangan dengan jayanya, tetapi hari ini kita dapati negara ini tidak lagi dihormati dan pentadbir tidak lagi dipandang tinggi," katanya.

Dr Mahathir berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Dataran Putra, hari ini.

Pada majlis itu, beliau turut mengingatkan warga JPM akan pemisahan kuasa dalam sistem demokrasi iaitu pemerintah (Eksekutif), perundangan (Legislatif) dan Kehakiman bagi mewujudkan “check and balance” (semak dan imbang) untuk negara kembali dihormati.

"Permisahan ini sangat penting, kalau tiada 'check and balance' seperti ini maka tetap akan berlaku sesuatu tidak baik, yang tidak dapat ditegur, tidak dapat dihalang dan ditentang. Ini kita harus ingat. Pentadbir menjadi tangan yang terkuat dalam melaksanakan segala urusan untuk membangunkan negara.

"Pentadbir mestilah terdiri daripada pentadbir yang baik dan tidak terpesong kerana sebab-sebab lain. Ini amat penting sekali dan saya yakin, anda (pentadbir) semua tahu kita sebagai pentadbir mestilah akur kepada sistem pemerintahan negara kita iaitu sistem demokrasi," tegas perdana menteri.

Menurutnya, jika pemisahan kuasa itu tidak wujud, maka satu pihak akan menguasai ketiga-tiga cabang tersebut dan pihak berkenaan tidak lagi ditegur atau ditentang serta boleh melakukan apa-apa sahaja termasuk yang bertentangan dengan undang-undang negara.

NEGARA PERLU MILIKI TIGA CABANG

Atas sebab itulah, kata beliau, negara mesti mempunyai tiga cabang terbabit khususnya pentadbiran yang memainkan peranan penting dan golongan pentadbir pula mesti terdiri daripada anggota yang berpegang pada ikrar untuk berkhidmat kepada negara tanpa dipesong oleh lain-lain perkara.

"Contohnya, kalau kita suruh dilakukan sesuatu bertentangan undang-undang negara, maka menjadi tanggungjawab pentadbir negara untuk tidak menerima sesuatu yang salah dan disuruh melakukannya. Kita lihat dalam beberapa tahun lepas ini, pentadbir tidak mempunyai kuasa untuk menegur dan menentang apabila disuruh melakukan (sesuatu) yang bertentangan dengan undang-undang negara," katanya.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata beliau mendapati ramai anggota pentadbir melakukan perbuatan yang tidak baik dan merugikan negara, mungkin kerana takut atau disogok untuk berbuat demikian.

"Kita dapati kewangan negara sudah dicabul dengan begitu besar sehingga sekarang kita hadapi masalah penyelesaian hutang yang sudah meningkat kepada trilion ringgit. Ini tidak pernah dilakukan oleh kita. Dahulu, kalau kita ada hutang jumlahnya tidak melebihi RM300 bilion (S$101 bilion) tetapi sekarang sudah meningkat lebih RM1 trilion (S$340 bilion). 

"Bagaimanakah kita mahu selesaikan hutang ini? Bergantung pada usaha dan daya fikir kita untuk mengatasi cabaran ini. Untuk ini, kita perlu kerjasama antara pihak kerajaan dan wakil-wakil rakyat yang dipilih dan pentadbiran," katanya.

MAMPU HADAPI CABARAN DI BAWAH SISTEM TADBIR BERDEMOKRASI

Dalam pada itu, Dr Mahathir sekali lagi menegaskan bahawa Malaysia mampu menghadapi pelbagai cabaran dengan berpegang pada prinsip yang diletakkan di bawah sistem pentadbiran berdemokrasi.

"Hanya dengan cara itu kita dapat bersihkan pentadbiran negara kita dan apabila ia menjadi lebih bersih, dikenali, maju dan cekap maka pada ketika itu akan terpulih negara kita. Saya berharap dapat kerjasama tidak berbelah bagi selaku perdana menteri, asalkan apa yang dilakukan oleh saya tidak bertentangan dengan dasar-dasar dan undang-undang negara," katanya. 

Beliau berkata pentadbir perlu menghormati perlembagaan negara yang selama ini menjadi asas dalam penyusunan pentadbiran negara yang mengutamakan undang-undang.

Dr Mahathir berkata undang-undang diwujudkan bukan memberi kuasa kepada kerajaan semata-mata, sebaliknya turut berperanan melindungi rakyat daripada sebarang jenayah yang mungkin dilakukan oleh kerajaan.

"Inilah yang kita idamkan dan kita percaya (dengan) kerjasama para pentadbir kita akan mencapai matlamat kita. Saya berharap dengan pertukaran kerajaan, kita dapat membaiki banyak masalah yang dihadapi negara terutama masalah kewangan, dapat diatasi. 

"Untuk itu, kita perlukan pentadbir yang cekap, cekap, beramanah dan boleh dipercayai. Itu sahaja harapan saya. Saya ucap berbanyak terima kasih kerana mendapat peluang menjelaskan sedikit sebanyak pendirian kerajaan baru yang kita pilih," katanya.

Sumber : Bernama/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan