Images
  • polis malaysia
    Gambar fail kereta polis Malaysia. (Gambar: MANAN VATSYAYANA/AFP)

M'sia lupuskan 2.8 tan sisik tenggiling bernilai RM36.617 juta

SEREMBAN: Malaysia sudah melupuskan 2.8 tan sisik tenggiling bernilai RM36.617 juta (S$12 juta) yang dirampas dalam tiga operasi tahun lepas, kata Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr A. Xavier Jayakumar.

Katanya pelupusan sisik tenggiling itu adalah tanda komitmen Malaysia dalam membanteras perdagangan haram hidupan liar selaras resolusi yang dicapai pada Persidangan Perdagangan Hidupan Liar Haram 2018 di London, baru-baru ini.

“Kes ini merupakan hasil rampasan Jabatan Kastam Diraja Malaysia yang dijalankan pada tahun lepas, antaranya 407 kilogram sisik tenggiling dirampas pada 2 Mei di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Sebanyak 291 kilogram sisik tenggiling dirampas pada 30 Julai di KLIA dan 2,100 kilogram sisik tenggiling yang dirampas pada 13 Sept di Pelabuhan Barat Klang,” katanya ketika sidang media hari ini (6 Dis).

Encik Xavier berkata barang rampasan itu dipercayai datang dari Afrika yang menjadikan Malaysia sebagai pusat transit sebelum dihantar ke negara seperti China dan Vietnam.

Beliau berkata pelupusan barang kes terbabit dibuat selepas mendapat perintah mahkamah dan dilupuskan seperti yang diperuntukkan dalam Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

Sementara itu, Encik Xavier menyeru negara-negara yang terlibat seperti China agar melarang penjualan bahagian atau anggota badan hidupan liar.

“Antara yang menjadi buruan pemakan hidangan eksotik selain sisik tenggiling ialah harimau malaya, beruang matahari dan orang utan.

“Dahulu di Malaysia ada lebih 3,000 ekor harimau malaya, kini yang tinggal lebih kurang 300 ekor sahaja,” katanya.

Beliau berkata harga di pasaran yang mahal mendorong pemburu-pemburu haram menjadikan tangkapan hidupan liar ini sebagai sumber pendapatan.

“Harga sisik tenggiling di Malaysia lebih kurang RM500 (S$164) setiap kilogram, tetapi di China ia dijual sehingga RM13,000 (S$4.3 juta) untuk setiap kilogram.

Encik Xavier menyeru orang awam untuk terus bekerjasama dengan agensi penguat kuasa menerusi penyaluran maklumat yang dapat membantu kerajaan membanteras aktiviti penyeludupan hidupan liar.

- BERNAMA/NA/na

Top