Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

M'sia kerah kapal perang pertama ke pangkalan maritim baru dekat Pedra Branca

Buat pertama kalinya Malaysia menghantar kapal dengan peluru berpandu ke pangkalan baru maritimnya di Middle Rocks.

Anggaran Waktu Membaca:
M'sia kerah kapal perang pertama ke pangkalan maritim baru dekat Pedra Branca

Kapal Perdana berlabuh di Pangkalan Maritim Abu Bakar. (Gambar: Ketua Tentera Laut - PTL/Twitter)

Diterbitkan : 11 Aug 2017 08:29PM Dikemas Kini : 11 Aug 2017 08:33PM

KUALA LUMPUR: Buat pertama kalinya Malaysia menghantar kapal dengan peluru berpandu ke pangkalan baru maritimnya di Middle Rocks, yang terletak berdekatan Pedra Branca. Pedra Branca pada tahun 2008 disahkan sebagai milik Singapura oleh Mahkamah Kehakiman Antarabangsa (ICJ).

Keputusan itu kini dicabar oleh Putrajaya.

Kapal yang dihantarkan ke Pangkalan Maritim Abu Bakar, yang terletak sekitar satu kilometer dari selatan Pedra Branca, adalah kapal Perdana sepanjang 44 meter dengan peluru berpandu yang berupaya melancarkan serangan dengan pantas.

Ia dibina oleh syarikat kapal dari Perancis dan mula berlayar pada tahun 1972.

Mediacorp difahamkan, Perdana dan kapal-kapal lain dalam kategori itu sebelum ini pernah dikerahkan membuat rondaan di kawasan tersebut.

Panglima Ketua Tentera Laut Malaysia, Laksamana Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin mengesahkan pengerahan kapal tersebut semalam (10 Ogos) apabila beliau memuat naik gambar-gambar ketibaan Perdana di pangkalan itu.

"Tahniah Perdana, kapal pertama Tentera Laut Diraja Malaysia yang berlabuh di Pangkalan Maritim Abu Bakar di Middle Rocks," menurut catatan beliau tanpa menyatakan tarikh sebenar kapal itu dikerahkan.

Pengerahan itu dilakukan beberapa hari selepas pangkalan baru tersebut dibuka rasmi oleh Sultan Ibrahim dari Johor, pada 1 Ogos.

Pangkalan Maritim Abu Bakar itu, dibina antara dua kelompok batu di bahagian timur permulaan Selat Singapura, di mana terdapat jeti sepanjang 316 meter, helipad atau tempat helikopter mendarat dan bangunan rumah api.

Gambar-gambar yang dimuat naik oleh Laksanama Kamarulzaman juga menunjukkan dua pengawal bersenjata di dek pemantauan serta sistem komunikasi yang dipasang peralatan pemantauan, menurut laporan Defence Weekly IHS Jane hari ini (11 Ogos)

Menurut catatan di laman Facebook Sultan Johor awal bulan ini, Pangkalan Maritim Abu Bakar, iaitu sebuah projek di bawah naungan Majlis Keselamatan Negara, "bertujuan untuk melindungi wilayah dan perairan berdaulat Malaysia dan juga bagi menjalankan kajian saintifik marin".

Pangkalan itu juga bertujuan mengesahkan "kedaulatan Malaysia ke atas Middle Rocks", tambah catatan tersebut.

Pada 30 Jun, Malaysia memfailkan permohonan baru kepada ICJ untuk mencabar keputusannya berhubung Pedra Branca yang disahkan milik Singapura.

Kerajaan Malaysia menyatakan langkah itu perlu diambil supaya kedua-dua negara boleh mengekalkan jalinan hubungan yang baik dalam menguruskan zon-zon maritim dan ruang udara.

Ia menambah permohonan itu "berasingan dan bebas" daripada yang difailkan oleh Malaysia kepada ICJ pada bulan Februari untuk menyemak semula keputusannya berhubung Pedra Branca.

Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) mmeberikan respons terhadap permohonan baru itu dengan menyatakan keputusan ICJ "jelas dan muktamad" dan kes yang dikemukakan Malaysia agak membingungkan dan tidak berasas.

"Oleh itu Singapura akan menentang permohonan Malaysia agar kes itu disemak semula, yang kami anggap tidak perlu dan tidak wajar."

Permohonan Malaysia pada bulan Februari, yang disusuli oleh dakwaan penemuan fakta-fakta baru dari tiga dokumen yang baru-baru ini dijumpai di arkib Britain, yang menurutnya akan "mengubah keputusan" mahkamah.

Pertikaian berhubung Pedra Branca sudah bermula sejak tahun 1979, apabila Malaysia menerbitkan peta yang menunjukkan pulau tersebut terletak dalam perairan negaranya.

Singapura kemudian membuat aduan rasmi membantah tindakan Malaysia pada awal tahun 1980. Ia mengambil masa lebih 20 tahun sebelum pertikaian itu dihadapkan ke ICJ pada bulan Julai 2003.

Pada bulan Mei 2008, selepas beberapa pusingan rayuan dan perbicaraan awam, mahkamah memutuskan Pedra Branca terletak dalam perairan Singapura.

Ia juga memutuskan kedaulatan Middle Rocks milik Malaysia.

Dalam satu kenyataan pada bulan Mei lalu, selepas Singapura memfailkan bantahan terhadap permohonan pertama Malaysia kepada ICJ, MFA menyatakan Singapura yakin dengan kes yang dikemukakan dan juga pasukan guamannya.

"Langkah seterusnya adalah untuk kedua-dua pihak membentangkan hujah-hujah masing-masing setelah ICJ menetapkan jadual bagi prosiding," tambah MFA. 

Sumber : Today/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan