Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

M'sia buka semula kedutaan di Korea Utara

Hubungan rapat Malaysia dengan Korea Utara terjejas setelah Kim Jong Nam dibunuh di lapangan terbang Kuala Lumpur pada Februari 2017 apabila dua wanita menekap mukanya dengan agen saraf VX, yang disenaraikan sebagai senjata pemusnah raya.

Anggaran Waktu Membaca:
M'sia buka semula kedutaan di Korea Utara

Perdana Menteri Mahathir Mohamad. (Gambar: Issei Kato/ REUTERS)

Diterbitkan : 12 Jun 2018 05:48PM Dikemas Kini : 12 Jun 2018 05:52PM

KUALA LUMPUR: Malaysia akan membuka semula kedutaannya di Pyongyang. Ini menurut Perdana Menteri Mahathir Mohamad yang turut menggambarkan bahawa ketegangan hubungan diplomatik yang tercetus akibat pembunuhan abang tiri pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un di Kuala Lumpur mungkin sudah berakhir.

"Ya, kami akan membuka semula kedutaan kami," kata Dr Mahathir dalam satu wawancara bersama Nikkei Asian Review yang diterbitkan pada Isnin (11 Jun) semasa lawatannya ke Jepun.

Hubungan rapat Malaysia dengan Korea Utara terjejas setelah Kim Jong Nam dibunuh di lapangan terbang Kuala Lumpur pada Februari 2017 apabila dua wanita menekap mukanya dengan agen saraf VX, yang disenaraikan sebagai senjata pemusnah raya.

Selepas kematian Kim Jong Nam, Duta Besar Korea Utara ke Malaysia mempersoalkan kewibawaan siasatan polis Malaysia dan menegaskan bahawa Kim Jong Nam adalah seorang rakyat biasa yang meninggal dunia akibat serangan jantung.

Malaysia kemudian memanggil pulang dutanya di Korea Utara, mengharamkan rakyatnya dari melakukan lawatan ke Korea Utara dan membatalkan visa warga Korea Utara yang memasuki Malaysia.

Korea Utara bertindak balas dengan mengenakan larangan perjalanan terhadap semua rakyat Malaysia di Pyongyang, sekaligus tidak membenarkan tiga diplomat dan enam orang ahli keluarga untuk meninggalkan Pyongyang.

Mereka akhirnya dapat pulang ke tanah air setelah Malaysia bersetuju untuk menyerahkan mayat Kim Jong Nam dan menghantar pulang tiga warga Korea Utara.

Tiada seorang pun yang bekerja di bangunan kedutaan Malaysia di Pyongyang sejak April tahun lalu, dan pada masa itu kerajaan sedang menimbangkan untuk menutupnya dan memindahkan operasinya ke Beijing.

Dalam satu wawancara yang diterbitkan sehari sebelum sidang puncak antara Kim Jong Un dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, Dr Mahathir berkata bahawa beliau berharap kedua-dua pihak bersedia bekerjasama.

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan