Images
  • lim guan eng
    Menteri Kewangan Malaysia, Lim Guan Eng. (Gambar: BERNAMA)

Lim Guan Eng pertahan kenyataan berhubung tuntutan GST

KUALA LUMPUR: Menteri Kewangan Malaysia, Lim Guan Eng mempertahankan kenyataannya berhubung RM18 bilion (S$6 bilion) wang tuntutan bagi Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang sepatutnya dibayar balik kepada peniaga, ‘dirompak’ kerajaan sebelum ini.

Encik Lim menegaskan demikian meskipun beliau didesak beberapa Anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) termasuk Encik Noh Omar, Encik Hamzah Zainudin, Encik Khairy Jamaluddin dan Dr Wee Ka Siong untuk menarik balik perkataan 'rompak' memandangkan siasatan masih dijalankan.

Ketika menggulung Rang Undang-Undang Kastam (Pindaan) 2018, Encik Lim berkata bahawa satu siasatan terbuka mengenai perkara itu, yang dipimpin oleh individu luar yang bebas dan berpengalaman, bakal disyorkan kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad selepas siasatan dalaman selesai dijalankan.

Menurut beliau, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Dr Ismail Bakar dilantik untuk menerajui siasatan dalaman itu.

"Ini supaya rakyat boleh mengetahui tentang kebenaran kes ini," kata Encik Lim kepada persidangan Dewan Rakyat pada Khamis (9 Ogos).

Di persidangan itu, beliau mendedahkan terdapat sejumlah RM19.4 bilion (S$6.5 bilion) dalam tunggakan pembayaran bagi tuntutan cukai GST sejak ia dilaksanakan dari April 2015 sehingga 31 Mei lalu.

Encik Lim berkata, baki sedia ada dalam Tabung Bayaran Balik hanya sekitar RM1.49 bilion (S$500 juta) saja, sekaligus menandakan ada kekurangan kira-kira RM18 bilion (S$6 bilion).

Pada Rabu (8 Ogos), Dewan Rakyat meluluskan pemansuhan GST dan Rang Undang-Undang Cukai Perkhidmatan 2018 dan pada Selasa (7 Ogos), Rang Undang-Undang Cukai Jualan 2018 bagi memperkenalkan semula pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan SST. 

- BERNAMA/AI/ai

Top