Images
  • CITYONEMALL
    2 mangsa letupan Cityone Megamall dipercayai pekerja Nene Chicken, yang dijadual dibuka hari ini. (Gambar: Bernama)

Letupan CityOne Megamall: Polis masih tunggu laporan siasatan forensik bomba

KUCHING: Polis masih menunggu hasil siasatan forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berhubung insiden letupan dan runtuhan di kedai NeNe Chicken Malaysia di CityOne Megamall di Kuching, Sarawak yang mengorbankan tiga orang dan mencederakan 44 yang lain dalam kejadian Selasa lalu.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Mohd Dzuraidi Ibrahim, berkata pihak bomba sudahpun memulakan siasatan forensiknya, tetapi pihak polis belum lagi menerima laporan hasil siasatan mereka.

"Setakat ini, pihak polis masih mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut sementara pihak bomba meneruskan siasatan untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian," katanya kepada para wartawan hari ini (7 Dis).

Menurut beliau, angka korban dan kecederaan masih kekal seperti yang dilaporkan sebelum ini, iaitu tiga kematian dan 44 orang cedera.

Raymond Wong, Pengarah Urusan NeNe Chicken Malaysia - francais yang mengusahakan cawangan di CityOne Megamall - semalam (6 Dis) menggesa agar pihak berkuasa mempercepatkan siasatannya ke atas insiden tersebut.

Beliau juga mahu hasil laporan berkenaan diumumkan secepat mungkin.

- BERNAMA/AI/ai

Top