Images
  • CITYONEMALL
    2 mangsa letupan Cityone Megamall dipercayai pekerja Nene Chicken, yang dijadual dibuka hari ini. (Gambar: Bernama)

Letupan CityOne Megamall: Operasi mencari dan menyelamat berhenti, 3 disahkan maut

KUCHING: Sehingga pukul 9.27 malam pada Selasa (4 Dis), operasi mencari dan menyelamat mangsa kejadian letupan yang dipercayai berlaku akibat kebocoran gas di CityOne Megamall di Kuching, Sarawak semalam (4 Dis) ditamatkan, dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat mengesahkan tiga nyawa terkorban dan 26 orang cedera dalam insiden pada kira-kira pukul 3.30 petang itu.

Ia ditamatkan selepas pihak bomba yang turut dibantu unit anjing pengesan mengesahkan tiada lagi mangsa tertimbus dalam serpihan struktur bangunan berkenaan.

Letupan itu dipercayai berpunca akibat kebocoran gas semasa proses kimpalan di restoran Nene Chicken yang dijadualkan dibuka hari ini (5 Dis).

Timbalan Ketua Menteri Sarawak Amar Douglas Uggah Embas, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, berkata punca sebenar kejadian sedang disiasat dengan terperinci.

Polis Kuching sudah mengenal pasti tiga lelaki yang meninggal dunia dalam kejadian itu sebagai O Kui Lim, 49, dan Tchee Kiom Joong, 24, kedua-duanya dari Kuching dan seorang lagi Chin Hsien Loong, 29, dari Butterworth, Pulau Pinang.

Dua yang maut dipercayai adalah pekerja Nene Chicken, yang sedang membuat persiapan untuk pembukaan restoran tersebut hari ini (5 Dis).

Sementara itu, Anggota Dewan Undangan negeri Padungan Wong King Wei berkata beliau akan menuntut perhatian Kementerian Sumber Manusia Malaysia supaya melihat kepada garis panduan lebih ketat bagi pekerja di tempat kerja, di samping peraturan untuk dipatuhi para pekerja, menyusuli kejadian itu.

CityOne Megamall dalam akaun Facebooknya memaklumkan bahawa ia sudah mengeluarkan notis agar premis itu ditutup kepada orang ramai dengan serta merta sehingga satu notis berikutnya dikeluarkan.

LAPORAN BERKAITAN:
3 maut, lebih 30 cedera dalam letupan di pusat beli-belah terbesar Sarawak

- BERNAMA/AI/ai

Top