Images
  • robert de niro
    Gambar: LUCAS JACKSON/REUTERS

Lepas kena bidas, Trump kecam De Niro ‘orang gila’

AMERIKA SYARIKAT: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump tidak perlu menunggu lama untuk membidas pelakon Robert De Niro yang sebelumnya mengeji beliau dengan kata-kata lucah.

Kira-kira 36 jam selepas Encik De Niro melafazkan ungkapan mencarut terhadap Presiden Trump, beliau membalasnya dengan kecaman yang tidak kurang pedasnya.

Melalui catatan di Twitter, Presiden Trump mengecam Encik De Niro sebagai seorang lelaki yang memiliki tahap pemikiran paling cetek.

“Robert De Niro orang yang memiliki tahap pemikiran sangat cetek. Beliau menerima terlalu banyak pukulan daripada petinju dalam filem dilakonkannya.

“Saya sudah menyaksikan caciannya malam tadi dan beliau mungkin mabuk,” kata Presiden Trump seperti dipetik The Guardian.

Baru-baru ini, Encik De Niro menyampaikan ucapan sempena majis Anugerah Tony ke-72 pada 10 Jun. Anugerah itu diadakan sebagai pengiktirafan terhadap persembahan Broadway sepanjang tempoh 2017 dan 2018.

Semasa berucap di depan ratusan orang - serta disaksikan jutaan yang lain melalui siaran langsung di TV, Encik De Niro berkata: "Saya nak cakap satu benda. F**k Trump."

Kata-kata Encik De Niro mendapat sambutan hangat malah penonton yang ada di dalam dewan berkenaan berdiri sambil bertepuk tangan sebagai tanda menyokong aktor terbabit.

Sejurus pulang dari Singapura selepas mengadakan pertemuan dengan pemimpin Korea Utara Kim Jong-un, Presiden Trump terus membalas kecaman ke atasnya itu.

Sambil berlagak untuk bercakap mengenai ekonomi dalam catatan seterusnya, Presiden Trump menulis: “Saya fikir beliau tidak menyedari ekonomi pada tahap ini berada pada kedudukan terbaik dengan peluang pekerjaan tinggi dan banyak syarikat kembali ke negara kita.

“Sedarlah, punchy!” katanya.

BUKAN ARTIS PERTAMA YANG DIKECAM

Sebelum ini, Encik De Niro memang beberapa kali sudah membawa watak sebagai petinju. Antaranya menjadi Jake LaMotta dalam Raging Bull - filem yang melayakkannya memenangi Anugerah Acedemy.

Beliau juga antara selebriti yang lantang mengkritik pentadbiran Presiden Trump. Pada 2016, Encik De Niro menyifatkan ahli politik Republican itu sebagai “orang gila.”

Encik De Niro turut mendakwa bahawa pentadbiran Amerika Syarikat sudah bertukar menjadi gagal dan bebal di bawah pimpinan Presiden Trump. Ketika itu, Encik De Niro baru memulakan ucapan di sebuah universiti.

Pelakon itu turut menggesa anak muda yang sudah tamat belajar untuk bekerja dengan gigih bagi menamatkan kegilaan pentadbiran PresidenTrump.

Encik De Niro adalah selebriti terbaru dipetik Presiden Trump dalam persengketaannya yang sering berlaku di media sosial sejak beliau memegang jawatan sebagai presiden.

Sebelum ini Presiden Trump pernah menyerang pelakon Alec Baldwin kerana meniru gayanya sewaktu rancangan Saturday Night Live.

Presiden Trump juga pernah mengambil tindakan sama terhadap Meryl Streep yang mengutuknya di Anugerah Golden Globes 2017.

Tidak ketinggalan pemain bola keranjang NBA, Stephen Curry yang mendedahkan pasukannya, Golden State Warriors, mungkin tidak akan melawat White House kerana memberontak terhadap pentadbiran Presiden Trump.

- Agensi berita/SM/sm

Komen Anda?

Top