Images
  • khumaira
    Khumaira ditemani ibunya di hospital. (Gambar: BERNAMA)

Lengan budak 7 tahun putus selepas baju tersangkut di rim motosikal

KUALA TERENGGANU: Bapa kepada kanak-kanak yang putus lengan kiri selepas bajunya tersangkut di rim motosikal risau akan masa depan anaknya selepas beliau dimaklumkan tidak boleh menggunakan lengan palsu.

Semasa kejadian, anak sulung Encik Zulkifli Mohamad yang berusia 7 tahun, membonceng motosikal yang dibawa kakak sepupunya, Noor Aina Hananie Razalie, 18 tahun, ke rumah penghulu kampung untuk mendapatkan cop pengesahan bagi permohonan pembiayaan pendidikan Yayasan Terengganu (YT) untuk menyambung pelajaran di sebuah kolej swasta.

Kejadian itu berlaku di Kampung Binjai Bongkok, Marang, pada sekitar 9.30 malam kelmarin (12 Jul).

"Saya tidak menyangka permintaan Khumaira untuk memakai baju sejuk milik ibunya akhirnya mengundang malang.

"Tetapi apakan daya, semuanya sudah ditentukan Allah. Saya yakin ada hikmah di sebaliknya dan berharap agar diberikan ketabahan," katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah.

Menurut Encik Zulkifli, walaupun dalam keadaan yang tidak sihat dan separuh sedar kerana diberi ubat penahan sakit melalui saluran tiub, anaknya, Khumaira masih sempat menyatakan tetap mahu ke sekolah seperti biasa esok (15 Jul).

"Walaupun sedih saya berasa tenang sedikit kerana Khumaira anak yang sangat kuat dan tidak menangis selepas menyedari tangan kanannya kini sudah tiada. Ketika ramai saudara mara datang melawat tadi, dia ada cakap nak ke sekolah kerana nak jumpa kawan-kawan.

"Malah selepas sedar daripada pembedahan pada sekitar 11.00 pagi tadi, dia ada tanya mana tangan palsu kakak nak pakai," katanya sambil mengesat air mata.

Menurut Encik Zulkifli, beliau dan isterinya belum dapat memikirkan perancangan lanjut untuk Khumaira kerana kejadian itu masih baru dan masing-masing masih terkejut dengan kemalangan yang menimpa anaknya. 

- BERNAMA/AQ/aq

Top