Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Lelaki tanam bayi baru dilahirkan kekasihnya

Seorang wanita dilaporkan melahirkan bayi di rumah teman lelakinya di Kampung Pertama, Permatang Pauh di Malaysia namun sehingga kini, polis masih cuba mengesan bayi yang dikatakan sudah meninggal dunia itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki tanam bayi baru dilahirkan kekasihnya

Gambar fail. (Gambar: Scott Olson/AFP)

Diterbitkan : 13 Oct 2018 01:22PM Dikemas Kini : 13 Oct 2018 01:27PM

BUKIT MERTAJAM: Seorang wanita dilaporkan melahirkan bayi di rumah teman lelakinya di Kampung Pertama, Permatang Pauh di Malaysia namun sehingga kini, polis masih cuba mengesan bayi yang dikatakan sudah meninggal dunia itu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata aduan mengenai kelahiran bayi itu dibuat oleh seorang doktor di Hospital Seberang Jaya yang merawat wanita berkenaan.

“Wanita itu dihantar ke hospital oleh teman lelakinya kerana mengalami pendarahan dan doktor yang merawatnya mengesyaki dia baru melahirkan anak dan menyembunyikan kelahiran itu.

"Doktor itu menghubungi polis pada 7.20 pagi bagi melaporkan terdapat seorang pesakit menyembunyikan kelahiran dan teman lelaki wanita itu menanam anaknya di kawasan tanah perkuburan," kata ACP Nik Ros Azhan pada Jumaat (12 Okt).

ACP Nik Ros Azhan berkata berdasarkan siasatan, wanita itu mendakwa beliau melahirkan bayi lelaki yang cukup sifat ketika kandungannya berusia lima hingga enam bulan pada awal pagi Jumaat (12 Okt), dan bayi itu dikatakan meninggal dunia.

Pasangan yang bekerja di sebuah hotel di George Town itu kemudian dikatakan membalut bayi berkenaan dengan kain pelekat sebelum menaiki motosikal ke tanah perkuburan di Bagan untuk menanamnya.

Wanita itu turut mendakwa hanya teman lelakinya yang memasuki pekarangan Tanah Perkuburan Bagan Dalam, Butterworth dan menanam mayat bayi itu, manakala beliau menunggu di motosikal, kata ACP Nik Ros Azhan.

Wanita itu dihantar ke hospital oleh teman lelakinya selepas didakwa menanam mayat bayi berkenaan.

ACP Nik Ros Azhan berkata pasukan polis dan forensik sudah ke tanah perkuburan Bagan Dalam itu untuk mencari mayat bayi berkenaan, namun tidak menemuinya dan tiada kesan kubur baru di situ.

Beliau berkata lelaki berusia 23 tahun itu dipercayai melarikan diri selepas menghantar teman wanitanya ke hospital dan polis kini giat mengesannya untuk siasatan lanjut, terutamanya bagi mengenal pasti lokasi sebenar mayat bayi berkenaan.

"Doktor yang merawat wanita itu mengesahkan terdapat kesan luka bersalin dan rahimnya juga kembang kesan daripada bersalin. Dia kini ditahan di wad untuk rawatan lanjut dan polis akan mendapatkan perintah reman ke atasnya untuk membantu siasatan," katanya.  

Sumber : Bernama/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan