Images
  • french flag
    Bendera Perancis di Elysee Palace. (Gambar: Jacky Naegelen/Reuters)

Lelaki rempuh orang ramai di selatan Perancis, dua cedera

NIMES: Seorang lelaki merempuh kenderaan yang dipandunya ke arah orang ramai yang berhimpun di luar sebuah bar yang terletak di bandar Nimes di selatan Perancis pada awal Jumaat (14 Sep), mencederakan dua orang sebelum lelaki itu merempuh sebuah benteng keselamatan dan diberkas. Demikian menurut para saksi dan pegawai tempatan.

Suspek, yang dipercayai adalah seorang warga tempatan 32 tahun, memecut kenderaannya ke arah sekitar 50 orang yang berhimpun di luar sebuah bar pada sekitar 1.00 pagi (2300 GMT Khamis), kata para saksi kepada agensi berita AFP.

Bagaimanapun, kereta jenis Peugeot yang dipandunya merempuh hadangan keselamatan yang dipasang bagi sebuah pesta yang bakal diadakan pada hujung minggu ini, bagi satu acara laga lembu yang memikat beribu-ribu penonton setiap tahun.

Beberapa saksi memberitahu AFP bahawa suspek melaungkan "Allahu Akhbar" semasa insiden itu.

Menurut sumber, lelaki berkenaan sebelum ini tidak dikenal pasti oleh polis sebagai seseorang suspek radikal.

Pendakwa raya wilayah itu, Eric Maurel, berkata suspek cuba melarikan diri namun berjaya ditangkap oleh orang ramai.

Lelaki itu seakan "keliru" semasa ditangkap dan sudahpun dimasukkan ke hospital, tambah Encik Maurel.

Siasatan sudah dilancarkan dan suspek itu disiasat atas tuduhan cuba membunuh. 

- AFP/AI/ai

Top