Images
  • German man
    Remaja-remaja Jerman yang sudah dipindahkan dari kem perkhemahan di tenggara Perancis. (Gambar: Boris Horvat/AFP)

Lelaki Jerman hilang selepas banjir melanda tapak perkhemahan Perancis

MARSEILLE: Seorang warga tua Jerman yang sedang membantu mengawasi kanak-kanak di sebuah tapak perkhemahan di tenggara Perancis dilaporkan hilang pada Khamis (9 Ogos) setelah dihanyutkan banjir, menurut polis.

Lelaki berusia 75 tahun itu sedang menemani sekitar 100 kanak-kanak rakyat Jerman, yang sudah dipindahkan dari tapak perkhemahan di Saint-Julien-de-Peyrolas, yang terletak kira-kira 60 kilometer dari bahagian utara Avignon di wilayah Gard.

Beliau terperangkap apabila Sungai Ardeche yang melimpah ke tebing mencetuskan arus deras dan lumpur. Beliau mendapatkan perlindungan di dalam karavannya, namun kenderaan itu dihanyutkan oleh arus kuat.

Ia kemudian didapati "kosong dan berkecai" apabila ditemui dekat sungai, menurut polis.

Beliau ialah satu-satunya individu yang masih belum ditemui menyusuli operasi mencari dan menyelamat yang dijalankan di tiga tapak perkhemahan di kawasan itu.

Seorang wartawan AFP yang berada di tempat kejadian berkata, para penyelam masih lagi menjalankan operasi bagi mencari lelaki berkenaan.

Sementara itu, sekumpulan 136 kanak-kanak dan belia dari bandar Leverkusen di Jerman berada dalam keadaan selamat.

10 orang dihantar ke hospital akibat mengalami hipotermia dan kecederaan ringan, kata jurucakap polis wilayah Jerome Tallaron.

Menurut kementerian dalam negeri, sejumlah 1,600 orang, kebanyakan daripada mereka berkhemah di situ, sudah dipindahkan ke tempat yang lebih selamat. Ini sebagai langkah berjaga-jaga yang dilaksanakan di wilayah Gard serta wilayah-wilayah berhampiran seperti Ardeche dan Drome.

Amaran banjir dikeluarkan di beberapa kawasan di bahagian tengah dan tenggara Perancis selepas gelombang haba selama beberapa minggu lalu menyebabkan hujan lebat.

Sekitar 17,000 rumah di bahagian barat daya dan timur laut Perancis juga dilaporkan terputus bekalan elektrik. 

- AFP/AI/ai

Top