Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Lelaki dipukul sehingga mati di India kerana didakwa bunuh lembu

Seorang lelaki beragama Islam yang dituduh membunuh seekor lembu dipukul sehingga mati oleh kumpulan perusuh di bahagian tengah India pada Ahad (20 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki dipukul sehingga mati di India kerana didakwa bunuh lembu

Penganut Hindu menganggap lembu sebagai haiwan suci dan tindakan menyembelih haiwan itu, dilarang di kebanyakan wilayah India. (Gambar: AFP/File/SANJAY KANOJIA)

Diterbitkan : 21 May 2018 12:03PM Dikemas Kini : 21 May 2018 12:08PM

NEW DELHI: Seorang lelaki beragama Islam yang dituduh membunuh seekor lembu dipukul sehingga mati oleh kumpulan perusuh di bahagian tengah India pada Ahad (20 Mei).

Ini sekaligus menjadikannya pembunuhan yang terbaru oleh kumpulan yang mengambil tindakan sendiri di luar undang-undang berkaitan haiwan tersebut, yang dianggap suci oleh penganut Hindu.

Siraj Khan, seorang penjahit berusia 45 tahun, diserang di kawasan Satna di wilayah Madhya Pradesh pada awal Jumaat dan meninggal dunia di tempat kejadian, kata pegawai polis Arvind Tiwari kepada AFP.

Rakan Siraj, Shakeel Maqbool, yang turut diserang, dimasukkan ke hospital dengan kecederaan parah.

Dengan butiran serangan ganas yang muncul pada hujung minggu, seramai 400 polis tambahan dikerahkan ke kawasan berkenaan pada lewat Sabtu sedang siasatan diperluaskan, menurut Press Trust of India.

"Kami sudah menangkap empat orang, dan mereka dalam tahanan kehakiman. Kami sedang menyiasat punca serangan tersebut," kata Encik Tiwari.

Beliau juga berkata daging dan bangkai lembu jantan turut ditemui di tempat kejadian, tetapi tidak memberi butiran lanjut memandangkan siasatan masih dijalankan.

Penganut Hindu menganggap lembu sebagai haiwan suci dan tindakan menyembelih haiwan itu, atau memiliki mahupun memakan dagingnya, dilarang di kebanyakan wilayah India.

Kesalahan menyembelih lembu di Madhya Pradesh membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun tetapi banyak bahagian lain India menjatuhkan hukuman mati jika undang-undang itu dicabuli.

Parti Bharatiya Janata (BJP) yang diterajui Perdana Menteri Narendra Modi berjanji mengharamkan penyembelihan lembu di India.

Parti sayap kanan Hindu BJP dituduh tidak mengendahkan jumlah serangan yang kian meningkat oleh golongan yang mengambil tindakan sendiri di luar undang-undang atas nama perlindungan lembu.

Beberapa kumpulan hak asasi juga menyatakan tindakan kumpulan perusuh Hindu semakin berani di bawah parti tersebut, yang menggenggam kuasa pada 2014. Kebanyakan mangsa adalah penganut Islam.

Dalam dua kes yang mendapat liputan meluas tahun lalu, seorang penternak lembu dibunuh di tepi jalan kerana melakukan penghantaran lembu dan seorang remaja beragama Islam yang dituduh membawa daging lembu pula ditikam mati dalam kereta api yang sesak.

Sumber : AFP/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan