Lelaki Bangladesh diculik di Johor Bahru
Polis menahan empat lelaki dan seorang wanita Ahad lalu (12 Nov) berhubung kes seorang lelaki warga Bangaladesh yang diculik di daerah Iskandar Puteri. Penculik meminta wang tebusan dalam kes itu.
JOHOR BAHRU: Polis menahan empat lelaki dan seorang wanita Ahad lalu (12 Nov) berhubung kes seorang lelaki warga Bangaladesh yang diculik di daerah Iskandar Puteri. Penculik meminta wang tebusan dalam kes itu.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP Noor Hashim Mohamad berkata kelima-lima suspek, tiga daripadanya lelaki warga asing ditahan di sebuah restoran di Semenyih, Selangor.
Beliau menambah, penahanan itu dilakukan setelah pihaknya menerima aduan daripada anak saudara mangsa pada kira-kira 6.21 petang Ahad lalu (12 Nov) di Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri.
“Suspek telah menghubungi keluarga mangsa menggunakan telefon bimbit mangsa lalu mengatakan bapa saudaranya diculik sebelum meminta wang tebusan berjumlah RM45,000 (S$14,600) untuk dimasukkan ke dalam akaun bank suspek sebelum jam 2.00 petang keesokan harinya.
“Pengadu juga diugut oleh suspek akan membunuh mangsa sekiranya gagal membayar wang tebusan itu,” jelas ACP Hashim semalam (14 Nov).
Menurutnya lagi, polis menyelamatkan mangsa berusia 41 tahun itu di sebuah premis perniagaan. Beliau dibawa ke Hospital Sultanah Aminah untuk menjalani pemeriksaan.
Mangsa diculik para suspek setelah mereka memperdayakannya.
Polis turut merampas dua buah kereta, 10 buah telefon bimbit, buku akaun bank dan serangkai kunci daripada suspek-suspek.
“Suspek warga asing yang juga pendatang asing tanpa izin direman selama 14 hari manakala dua lagi suspek yang merupakan warga tempatan direman selama empat hari bermula hari ini (14 Nov) bagi membantu siasatan,” katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.