Images
  • mahathir wawancara reuters
    Perdana Menteri Malaysia, Dr Mahathir Mohamad. (Gambar: Lai Seng Sin/Reuters) 

Lebuh raya tanpa tol tidak mungkin diwujudkan

BALI: Pembinaan lebuh raya tanpa mengenakan kutipan tol tidak mungkin dapat diwujudkan, kata Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir mendedahkan beliau sebenarnya tidak bersetuju dengan ikrar lebuh raya bebas tol yang terkandung dalam manifesto pilihan raya Pakatan Harapan (PH).

"Kami mewujudkan manifesto itu dengan memikirkan bahawa kami tidak akan menjadi kerajaan. Sekarang, kami adalah kerajaan dan manifesto ini merupakan beban yang besar."

"Tetapi pada masa itu, saya menentang. Saya tahu untuk mengadakan laluan percuma… ia tidak boleh (dilakukan). Satu-satunya cara untuk mengadakan laluan percuma dan tiada tol adalah dengan menaikkan harga petrol," kata beliau kepada agensi berita Bernama dan RTM di akhir Perhimpunan Pemimpin ASEAN pada Khamis (11 Okt).

Perhimpunan itu diadakan di luar Mesyuarat Tahunan Tabung Kewangan Antarabangsa dan Bank Dunia, bertemakan "Mencapai Matlamat Pembangunan Mampan dan Menangani Jurang Pembangunan Menerusi Tindakan Kerjasama Serantau dan Global”.

Lawatan itu adalah lawatan kali kedua Dr Mahathir ke Indonesia sejak beliau menjadi perdana menteri Malaysia bagi kali kedua menyusuli pilihan raya bersejarah negara itu pada bulan Mei.

Menjelaskan selanjutnya tentang tol, beliau bertanya siapakah yang akan menyelenggara atau membina jalan baru sekiranya kerajaan memansuhkan kutipan tol.

"Anda minta sektor swasta supaya membina jalan raya. Mereka mahu meraih keuntungan tetapi jika anda tidak mengadakan kutipan tol, bagaimana hendak mendapatkan keuntungan?"

Dr Mahathir berkata bahawa di England, tidak ada jalan bertol tetapi kerajaan negara itu mengenakan cukai yang sangat tinggi ke atas minyak petrol dan apabila harganya naik, kenaikan cukai malah lebih tinggi.

"Jadi, mereka menggunakan wang itu. Bagaimanapun jika anda memperolehi wang daripada hasil jualan minyak petrol, rakyat yang tidak menggunakan lebuh raya juga perlu membayar. Tetapi di sini pengguna (lebuh raya) yang bayar. Inilah pegangan kita. Bagi mereka yang tidak menggunakan (lebuh raya) mengapa mereka perlu bayar?"

Dr Mahathir sebelum ini berkata kerajaan PH perlu menyemak semula beberapa perkara yang diikrarkan kerana sebahagiannya akan mengakibatkan kerugian yang sangat besar jika dilaksanakan.

- BERNAMA/AI/ai

Top