Images
  • CANCER un
    Penyakit tidak berjangkit bentuk 7 daripada setiap 10 kematian sedunia. (Gambar: Philippe Huguen/AFP)

Lebih 50% negara dunia mungkin gagal cegah barah, penyakit kronik

PARIS: Lebih separuh daripada negara-negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mungkin tidak dapat memenuhi komitmen mereka untuk mengurangkan jumlah kematian lebih awal akibat barah, penyakit kardiovaskular, penyakit pernafasan kronik dan kencing manis menjelang 2030, menurut para penyelidik pada Jumaat (21 Sep).

Barah, penyakit jantung dan pembuluh darah, kencing manis serta penyakit pernafasan kronik membunuh 12.5 juta orang berusia antara 30 hingga 70 tahun dari merata dunia pada 2016, menurut para penyelidik dalam satu kajian yang dijalankan.

Kajian itu mendedahkan bahawa hanya 35 negara dijangka menepati Sasaran Kemajuan Mampan PBB 3.4 - yang dilancarkan pada 2015 - bagi kaum wanita, namun jauh lebih rendah bagi kaum lelaki.

"Para penderma antarabangsa dan pemerintah-pemerintah masih belum melakukan yang secukupnya untuk mengurangkan kematian akibat penyakit-penyakit tidak berjangkit," kata ketua penyelidik Majid Ezzati, seorang profesor di Sekolah Kesihatan Awam Imperial School di London.

Berita baik, tambah beliau, adalah kebanyakan negara sekurang-kurangnya sedang berusaha untuk menepati sasaran tersebut.

Bagaimanapun, sekitar 20 negara - 15 bagi wanita dan 24 bagi lelaki - sama ada tidak menunjukkan sebarang kemajuan ataupun menunjukkan prestasi yang mundur.


(Gambar: Simon Malfatto/AFP)

Kumpulan berkenaan melibatkan satu-satunya negara mewah, iaitu Amerika Syarikat.

KESIHATAN AWAM KURANG BAIK

Penyakit-penyakit tidak berjangkit membunuh lebih 40 juta orang daripada pelbagai usia dari seluruh dunia setiap tahun. Ia juga membentuk tujuh daripada setiap 10 kematian.

Daripada jumlah itu, 17 juta kes disifatkan sebagai "kematian lebih awal" di mana pesakit meninggal dunia sebelum mencecah usia 70 tahun.

Pada masa yang sama, Dr Ezzati menolak tanggapan bahawa sasaran PBB mungkin terlalu sukar untuk dicapai.

Negara-negara yang dijangka tidak menepati sasaran PBB mungkin gagal mengurangkan penggunaan tembakau dan alkohol serta tekanan darah tinggi, mewujudkan sistem jagaan kesihatan awam yang baik dan ketidaksamarataan yang rendah, kata Dr Ezzati.

Hanya empat negara - iaitu Korea Selatan, Jepun, Switzerland dan Australia - menduduki antara 10 tangga teratas bagi negara-negara dengan kadar kematian akibat penyakit tidak berjangkit yang rendah bagi kaum lelaki dan wanita.

CHINA DIJANGKA TIDAK CAPAI SASARAN PBB

Singapura, Sepanyol, Portugal, Itali, Finland dan Perancis dijangka menepati sasaran PBB bagi wanita manakala Iceland, Sweden, Norway, Bahrain, Kanada dan New Zealand pula bagi lelaki.

China dijangka tidak akan menepati sasaran itu kerana meskipun kematian akibat penyakit tidak berjangkit semakin merosot, jumlah kes kegemukan dan tekanan darah tinggi kian meningkat, dedah kajian tersebut.

Kadar merokok juga bertambah stabil namun tetap tinggi, terutamanya bagi kaum lelaki. Malah, penggunaan tembakau meragut nyawa 1 juta penduduk China setiap tahun.

"Adalah tidak sesuai dan tidak strategik jika kita tidak mengambil kira penyakit tidak berjangkit dalam usaha memperkukuhkan seluruh sistem jagaan kesihatan," kata Dr Ezzati.

"Kita perlu memberitahu penderma dan agensi-agensi bantuan supaya menumpukan perhatian kepada sistem kesihatan secara keseluruhannya, dan bukan setakat sesuatu penyakit sahaja," tambah beliau.

- AFP/AI/ai

Top