Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Lebih 240 individu ditahan disyaki rekrut ahli melalui media sosial

Seramai 249 individu tempatan dan asing yang disyaki merekrut ahli untuk aktiviti keganasan melalui media sosial berjaya ditahan setakat ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih 240 individu ditahan disyaki rekrut ahli melalui media sosial

Gambar hiasan. (Gambar: Xabryna Kek)

Diterbitkan : 13 Mar 2018 10:38PM Dikemas Kini : 13 Mar 2018 10:47PM

KUALA LUMPUR: Seramai 249 individu tempatan dan asing yang disyaki merekrut ahli untuk aktiviti keganasan melalui media sosial berjaya ditahan setakat ini.

Ini melibatkan 240 orang yang menjalankan modus operandi mereka melalui Facebook, lapan melalui Twitter manakala seorang lagi melalui Instagram, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Masir Kujat.

Beliau memberitahu persidangan Dewan Rakyat bahawa tangkapan tersebut dibuat hasil risikan pihak polis dan pemantauan oleh Pusat Tindakan Mesej.

Selain penahanan, katanya, lebih 3,870 akaun Facebook kini juga dipantau manakala 800 akaun sudahpun disekat. Di Twitter, 76 individu dipantau dan sembilan akaun disekat, manakala di Instagram, lebih 70 individu sedang dipantau. 

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Shabudin Yahaya (BN-Tasek Gelugor) berkenaan usaha kerajaan dalam mengekang penyebaran fahaman keganasan di media sosial.

Awal dari itu, semasa menjawab soalan asal Datuk Shabudin, Datuk Masir berkata setakat ini 19 individu termasuk seorang warga asing sedang menjalankan program deradikalisasi di bawah Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA).

“Program deradikalisasi dilaksanakan secara sistematik menggunakan modul deradikalisasi bersepadu untuk pengganas yang merangkumi aspek keagamaan, kewarganegaraan, psikologi kekeluargaan dan nilai-nilai murni.

“Kejayaan program ini kelak dapat dilihat apabila tahanan yang dibebaskan akan kembali kepada masyarakat dan tidak lagi terlibat dalam keganasan,” katanya. 

Bagi memastikan program ini berjaya, katanya, modul program tersebut sentiasa dikaji dan ditambah baik dari semasa ke semasa termasuk kerjasama dengan pihak antarabangsa melalui persidangan dan mesyuarat untuk meningkatkan kesedaran dan mencegah keganasan. 

Sumber : Bernama/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan