Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Lacur anak dengan bayaran RM50, ibu tunggal dipenjara 75 tahun

Seorang ibu tunggal yang memperoleh bayaran RM50 (S$16) seorang dengan melacurkan dua anak perempuannya, dijatuhi hukuman penjara 75 tahun oleh Mahkamah Sesyen hari ini (13 Nov) setelah mengaku bersalah terhadap 10 pertuduhan menganiaya

Anggaran Waktu Membaca:
Lacur anak dengan bayaran RM50, ibu tunggal dipenjara 75 tahun

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 13 Nov 2017 03:57PM Dikemas Kini : 13 Nov 2017 04:09PM

JOHOR BAHRU: Seorang ibu tunggal yang memperoleh bayaran RM50 (S$16) seorang dengan melacurkan dua anak perempuannya, dijatuhi hukuman penjara 75 tahun oleh Mahkamah Sesyen hari ini (13 Nov) setelah mengaku bersalah terhadap 10 pertuduhan menganiaya dua anaknya itu, bulan lalu.

Perintah hukuman itu dikeluarkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen Johor Bahru Kamarudin Kamsun setelah meneliti fakta-fakta kes terbabit.

Mengikut fakta kes, tertuduh yang mengganggur dan berusia 39 tahun, melakukan kesalahan itu antara 1 hingga 7 Oktober tahun ini di sebuah bilik hotel bajet di Jalan Susur Dewata 1, Larkin Perdana, antara pukul 9.25 pagi hingga 2.49 petang.

Tertuduh yang merupakan ibu kandung mangsa didapati melacurkan kedua-dua anaknya, masing-masing berusia 13 dan 10 tahun, kepada dua lelaki warga Bangladesh.

Kedua-dua kanak-kanak itu juga dipaksa melakukan hubungan seks dengan kedua-dua lelaki berkenaan secara bergilir-gilir sambil dilihat oleh tertuduh sendiri.

Selepas selesai melakukan hubungan seks dengan kanak-kanak tersebut, tertuduh akan menerima bayaran sebanyak RM50 bagi setiap kanak-kanak, dan adakalanya kanak-kanak tersebut akan menerima bayaran sebanyak RM1 (S$0.30), RM5 (S$1.60), RM10 (S$3.30) dan RM20 (S$6.50).

Tertuduh yang juga mempunyai dua orang anak lagi masing-masing berusia empat dan lima tahun. 

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda RM50,000 (S$16,200) atau dipenjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, sebagai tambahan kepada hukuman yang dikenakan, di mana dia boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun dan dihukum sebat tidak kurang dua sebatan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suhaila Shafi’uddin memohon kepada mahkamah agar mengenakan hukuman yang setimpal terhadap tertuduh kerana ia merupakan kesalahan serius melibatkan kepentingan awam serta tindakan seorang ibu yang tergamak melacurkan anak sehingga menyebabkan mereka trauma.

“Hukuman berat juga perlu kerana penganiayaan seperti itu kerap dilakukan oleh ibu bapa terhadap anak-anak mereka.

“Mengikut statistik pihak berkuasa dari 2010-2015, sebanyak 5,779 kes difailkan membabitkan penderaan seksual kanak-kanak,” katanya.

Hakim kemudian menetapkan hukuman penjara 15 tahun bagi setiap pertuduhan, namun memerintahkan pertuduhan yang sama tarikh, dijalankan serentak hukumannya manakala hukuman selebihnya dilaksanakan selepas tamat hukuman sebelumnya.

Beliau turut menasihatkan tertuduh yang tidak diwakili peguam agar insaf dan bertaubat dan menyifatkan hukuman itu sebagai pengajaran kepada masyarakat yang mungkin melakukan kesalahan sama di masa depan.

Sumber : Bernama/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan