Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kontrak bina pencakar langit tertinggi di dunia di Jeddah sudah ditandatangani

Syarikat pemaju hartanah tempatan, Al-Fouzan General Contracting Co. diberi kontrak bernilai 620 juta Riyal Saudi (S$218 juta) untuk membina bangunan pencakar langit tertinggi di Jeddah.

Anggaran Waktu Membaca:
Kontrak bina pencakar langit tertinggi di dunia di Jeddah sudah ditandatangani

Tinggi menara Jeddah dijangka lebih tinggi daripada Burj Khalifa. (Gambar: CNN)

Diterbitkan : 18 Jan 2018 09:29PM Dikemas Kini : 18 Jan 2018 09:33PM

DUBA: Syarikat pemaju hartanah tempatan, Al-Fouzan General Contracting Co. diberi kontrak bernilai 620 juta Riyal Saudi (S$218 juta) untuk membina bangunan pencakar langit tertinggi di Jeddah.

Kerja-kerja pembinaannya dijangka siap dalam masa 12 bulan. Demikian menurut Jeddah Economic Co, konsortium di belakang projek itu semalam (17 Jan), lapor Arab News.

Pembinaan Menara Jeddah, yang pada asalnya dianggarkan bernilai AS$1.2 bilion, sudah dijalankan selama beberapa tahun dan sebelum ini, dikatakan akan siap menjelang 2020. Dalam kenyataannya, syarikat Jeddah Economic Company tidak menyatakan sama ada projek itu masih berlangsung mengikut perancangan yang ditetapkan.

Menurut laporan Arab News, projek itu diumumkan ketika ekonomi Saudi sedang berkembang pesat. Kini, ia menghadapi persekitaran yang lebih sukar, memandangkan pasaran hartanah di negara itu merosot akibat keadaan ekonomi yang kurang memberangsangkan disebabkan oleh harga minyak yang rendah.

Menurut Arab news lagi, menara Jeddah dianggarkan mencapai ketinggian lebih 1,000 meter, mengalahkan Burj Khalifa di Dubai setinggi 828 meter.

Ketua Pegawai Eksekutif syarikat Jeddah Economic Company, Mounib Hammoud, berkata pelaksanaan projek itu dianggap sebagai langkah penting dalam meletakkan pembangunan mega ini sebagai projek bertaraf dunia.

"Kerja-kerja dijalankan mengikut jangka masa yang ditetapkan. Tidak lama lagi, tapak binaan akan disediakan. Pelabur tempatan dan antarabangsa boleh menjalankan projek dengan semua perkhidmatan sokongan dan kemudahan awam termasuk: prasarana canggih, penyejukan daerah, rangkaian gas, ruang terbuka awam, taman-taman dan banyak lagi elemen bandar mesra alam," kata Encik Hammoud dalam kenyataan itu.

"Projek ini menawarkan menara tertinggi di dunia, penggunaan persekitaran bercampur yang mampan, apartmen-apartmen, destinasi pelancongan dan riadah serta a pusat perniagaan. Projek ini akan memacu pertumbuhan Jeddah dan menawarkan beribu-ribu peluang pekerjaan untuk generasi muda Saudi dalam pelbagai bidang." 

Sumber : Agensi berita/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan