Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Komposer Saari Amri sudah tidak diendahkan lagi?

Beliau rakyat Malaysia pernah bekerja sebagai buruh binaan di Singapura. Namun beliau kemudian menjadi sangat terkenal.

Anggaran Waktu Membaca:
Komposer Saari Amri sudah tidak diendahkan lagi?

Komposer Saari Amri.

Diterbitkan : 20 Jan 2016 09:14AM Dikemas Kini : 20 Jan 2016 10:30AM

BERITAMediacorp: Beliau rakyat Malaysia pernah bekerja sebagai buruh binaan di Singapura. Namun beliau kemudian menjadi sangat terkenal.

Sebut sahaja nama komposer Saari Amri, pasti ramai yang akan kaitkan nama beliau dengan para penyanyi 1990-an seperti Ziana Zain( Madah Berhelah, Kekal), Azie (Pelamin Anganku Musnah, Kau Tetap Dalam Anganku), Ukays ( Di Sana Menanti Di Sini Menunggu, Seksa), Nike Ardilla (Duri Terlindung) Umbrella( Ramalanku Benar Belaka), Slam( Kembali Terjalin,Gerimis Mengundang), Aris Ariwatan( Lamunan Terhenti), dan Ella( Sembilu).

Tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa beliau salah seorang komposer serta penulis lirik yang paling popular dan hidup mewah daripada royalti yang beliau perolehi dari penciptaan lagu-lagu hits ketika itu. Yang pasti, lagu-lagunya banyak yang masih lagi diputarkan di corong-corong radio.

Malangnya, Saari ditimpa kemalangan ngeri pada November 1996 apabila menaiki motorsikal berkuasa tinggi sehingga beliau terlantar dalam keadaan koma selama tiga minggu dan hilang ingatan untuk seketika.

Kemalangan tersebut ternyata merubah segala-galanya bagi beliau.

DIPINGGIRKAN KERANA TIDAK RELEVAN?

Apakah Saari Amri terpinggir dan tidak lagi relevan lagi dalam industri hiburan masa kini? Apakah ini kerana sentuhan emas beliau sudah kurang menyengat, lantaran lagu-lagu ciptaan beliau tidak lagi diingini oleh penyanyi kini? Adakah beliau juga dipinggirkan penyanyi-penyanyi yang pernah popular menerusi lagu-lagu ciptaan beliau?

Saari yang dihubungi BERITAMediacorp menerusi panggilan jauh ke Kuala Lumpur dengan tenang menjawab:

“Saya masih lagi berkarya tapi ada lagu-lagu yang dah siap seperti lagu Lahirmu Untuk Dia (Aris Ariwatan) susah nak ‘keluar’. Susah sekarang sebab orang tak suka beli album kini, mereka suka muat turun lagu.”

Terang insan seni yang berasal dari Kelantan itu, penyanyi Amir Ukays dan Zamani dari kumpulan Slam antara segelintir penyanyi yang pernah berjumpa beliau untuk meminta lagu sebelum ini sebenarnya.

600 LAGU CIPTAAN SAARI AMRI DALAM PASARAN

Saari pula berpegang pada prinsipnya dari tahun 1990-an lagi bahawa selalunya, beliau yang akan mencari artis untuk diberikan lagu ciptaannya, bukan penyanyi yang mencarinya. Makanya, tidak timbul isu bahawa beliau dipinggirkan oleh mana-mana pihak.

Katanya baru-baru ini: “Saya tak kisah. Saya tak terbitkan album kini pun tapi saya dah banyak buat lagu. Hampir 600 buah lagu ciptaan saya dalam pasaran. Royalti dari lagu-lagu itu cukup untuk menampung saya. Setahun adalah $ 200 ribu Ringgit Malaysia. Itulah I tukar kereta setiap tahun. Mercedes dan lain-lain. Orang hairan I tak bekerja tapi kereta bertukar-tukar.I cuma kata dulu I bekerja kuat, now I nak rilek saja.”


Bapa kepada empat orang anak itu tidak menafikan, lumrah kehidupan. Bila senang ramai yang mendekatinya untuk meminjam duit.

Tidak kurang pula yang meminta Saari menjadi penjamin sehinggakan nama Saari Amri pernah disenaraihitamkan oleh pihak bank apabila “sahabat-sahabat” itu menghilangkan diri sehingga kini.

“Orang industri berhutang dengan I beratus ribu pun tak bayar. Rakan-rakan I ada yang nak pergi pukul orang ini tapi I kata jangan’ kongsinya.

SAARI DAKWA DIRINYA “DISANTAU”

Setelah beliau keluar dari hospital, beliau “berubat” dan diberitahu beliau disantau sebenarnya.

Tambah Saari terus membuka cerita: “I ada keluarga. Kalau I bujang I dah beli pedang nak balas balik orang tu. Nasib baik I ada kawan yang pujuk I ketika itu.

SAARI AMRI KINI ‘TUKANG UBAT’

Selain dari membesarkan anak-anak beliau bersama isterinya yang bernama Senorita, Saari juga membantu pesakit-pesakit kencing manis yang datang berjumpa beliau sejauh dari Singapura, Indonesia dan dari seluruh Malaysia.

Ramuan khas yang beliau ingin rahsiakan sangat untuk pesakit kencing manis, suatu kepandaian yang diturunkan oleh arwah ibu beliau.

Saari berkata beliau berjaya membantu ibu mertuanya sendiri serta pesakit-pesakit lain dari pelbagai bangsa. Pesakit hanya perlu memakan ramuan yang disiapkan oleh Saari.

Katanya penuh konfiden: “Ada sesetengah yang makan, kandungan gula mereka turun dari 20 ke 10. I beri percuma saja.”

(Gambar-gambar: Facebook Komposer Saari Amri) 

Sumber : BERITA Mediacorp/ag
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan