Images
  • Khairy
    (Gambar: Melissa Goh)

Khairy kesal tidak buka mulut kerana lindungi Najib

KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin kesal kerana tidak berterus terang dengan bekas presiden Umno Datuk Seri Najib Razak tentang akar umbi yang menolak parti itu, selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin (bekas timbalan presiden UMNO) dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (naib presiden UMNO) "dikeluarkan".

"Tidak ada sesiapa, selepas Muhyiddin dikeluarkan, selepas Shafie dikeluarkan... Tiada siapa yang mahu mengakui ada masalah. Itu kesilapan besar di pihak kita.

Mantan Menteri Belia dan Sukan itu selanjutnya berkata kesilapannya untuk tidak bercakap benar bagi melindungi Datuk Seri Najib adalah sesuatu yang terpaksa beliau ingat seumur hidupnya.

Datuk Seri Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dihalang daripada meninggalkan negara ini setelah kerajaan baru pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad membuka semula siasatan ke atas 1MDB.

"Apakah ada isyarat? Ya, ada isyarat yang jelas tetapi kita tidak sedar akan isyarat-isyarat itu," katanya.

"Ini tidak harus berlaku lagi, kita tidak boleh membiarkan pemimpin UMNO terpisah dengan realiti dan tidak bertanyakan soalan-soalan yang sukar. Jika kita meneruskan pemikiran feudal untuk melindungi pemimpin daripada kebenaran, UMNO akan pupus," katanya.

Kedua-dua Tan Sri Muhyiddin dan Datuk Seri Shafie digugurkan dari barisan kabinet Datuk Seri Najib selepas mereka lantang mengkritik secara terbuka skandal 1MDB.

Encik Muhyiddin kemudian membuat kemunculan semula dengan menjadi Presiden BERSATU, yang menjadi komponen pakatan Pakatan Harapan, manakala Encik Shafie pula menerajui Parti Warisan Sabah.

HARAPAN hari ini menjadi kerajaan persekutuan, dengan Encik Muhyiddin memegang jawatan sebagai menteri dalam negeri, sementara Encik Shafie adalah Ketua Menteri Sabah.

'BN PERLU SIAP SEDIA' - KHAIRY

Beberapa pegawai kanan kerajaan lain di bawah pentadbiran sebelum ini juga dipindahkan atau diarahkan bercuti termasuk dikenakan sekatan perjalanan ke luar negara.

Dengan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dibebaskan dari penjara esok (16 Mei), Encik Khairy mengakui bahawa BN - sekarang pembangkang - mesti bersiap berdepan kedua-dua mereka.

"Kita perlu bersedia, kita menentang dua gergasi, dua nama besar dalam dunia politik. Kita perlu memastikan bahawa kita siap sedia.

"Rakyat Malaysia memilih dua gergasi untuk memimpin kita, cabaran kami adalah untuk memastikan kami dapat memainkan peranan sebagai pembangkang.

"Saya ibarat semut menentang dua gergasi itu, dan saya perlu memastikan saya dapat berfikir dengan pantas dan bergerak dengan cepat dalam tempoh lima tahun akan datang," kata Encik Khairy.

Datuk Seri Anwar akan dibebaskan selepas menjalani hukuman penjara lima tahun atas tuduhan liwat, yang menurutnya adalah bermotifkan politik. 

- CNA/FA/aq

Komen Anda?

Top