Images
  • rizieq
    Ketua Front Pembela Islam (FPI) Rizieq Shihab diminta memberi keterangan kepada polis Saudi. (Gambar: Merdeka.com)

Ketua Front Pembela Islam Indonesia diberkas di Arab Saudi

JAKARTA: Duta besar Republik Indonesia ke Arab Saudi, Agus Maftuh Abegebriel, mengesahkan penangkapan ketua Front Pembela Islam (FPI) Rizieq Shihab oleh pasukan keselamatan Arab Saudi di Makkah.

Polis Makkah melakukan penangkapan di rumahnya pada 5 November lalu.

"Polis datang ke rumahnya berdasarkan maklumat tentang bendera hitam menyerupai bendera gerakan pelampau yang dipasang pada dinding rumah Rizieq," kata Encik Agus kepada Tempo.co. Polis telah melalukan pemeriksaan ke atas rumahnya.

Beliau menambah, kerajaan Arab Saudi mengharamkan segala bentuk istilah, label, ciri dan lambang pengganasan seperti berkaitan ISIS, Al-Qaeda, dan Al-Jama'ah al-Islamiyyah. Ia juga memantau kegiatan-kegiatan di media sosial. Pelanggaran IT berkaitan pengganasan disifatkan sebagai satu jenayah serius.

Ketua FPI itu dibawa ke balai polis di Makkah dan kemudian ditahan polis tempatan bagi membantu siasatan, menurut Tempo.co.

Laman itu selanjutnya melaporkan bahawa selepas disiasat, Muhammad Rizieq dibebaskan dengan ikat jamin pada keesokan harinya. Beliau ditemani kakitangan konsulat Indonesia semasa dibebaskan.  

- Agensi berita/AQ/aq

Top