Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kes anak dirantai pada tong gas: Bapa tiri dibebaskan

Bapa tiri kepada kanak-kanak yang ditemukan tidak sedarkan diri dengan leher dirantai pada tong gas di sebuah rumah Indera Mahkota dibebaskan semalam (12 Okt) dengan jaminan polis.

Anggaran Waktu Membaca:
Kes anak dirantai pada tong gas: Bapa tiri dibebaskan

Budak lelaki yang dirantai pada tong gas. (Gambar: Facebook)

Diterbitkan : 13 Oct 2017 09:20AM Dikemas Kini : 13 Oct 2017 09:21AM

KUANTAN: Bapa tiri kepada kanak-kanak yang ditemukan tidak sedarkan diri dengan leher dirantai pada tong gas di sebuah rumah Indera Mahkota dibebaskan semalam (12 Okt) dengan jaminan polis.

Menurut laporan Astro Awani, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, Penolong Pesuruhjaya Kanan Othman Nayan berkata, suspek yang direman bagi membantu siasatan sejak Jumaat lalu (6 Okt) dibebaskan memandangkan tempoh tahanan reman berakhir semalam (12 Okt).

Encik Othman berkata permohonan reman pertama dibuat terhadap suspek yang bertugas di Kem Batu 10, Jalan Gambang, pada 6 Oktober lalu sehingga 9 Oktober sebelum pihak polis memperoleh perintah sambungan tahanan reman sehingga semalam (12 Okt).

"Penahanan itu dibuat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2016 dan kertas siasatan sudah dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya semalam untuk tindakan lanjut," kata Encik Othman ketika dihubungi Astro Awani semalam (12 Okt).

Beliau menambah, suspek dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu arahan selanjutnya daripada pejabat Timbalan Pendakwa Raya.

Laporan Astro Awani juga mengimbas kembali urutan peristiwa kejadian tersebut. Pada 5 Oktober lalu, mangsa berusia 10 tahun ditemukan dalam keadaan leher dirantai pada tong gas di sebuah rumah di Indera Mahkota oleh bapa tirinya kerana dipercayai tidak tahan dengan kedegilan kanak-kanak itu yang enggan ke sekolah.

Perbuatan bapa tiri berusia 35 tahun itu terbongkar apabila sepasukan anggota polis melakukan pemeriksaan di rumah tersebut selepas menerima maklumat awam kira-kira pukul 10.00 pagi.

Kanak-kanak itu tidak sedarkan diri ketika polis memasuki rumah berkenaan dan pihak polis menghubungi Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk membawa mangsa mendapatkan rawatan lanjut.

Pada 11 Oktober, Mahkamah Bagi Kanak-Kanak, memutuskan hak penjagaan sementara selama sebulan diberikan kepada bapa kandungnya yang kini menetap di Melaka.

Sumber : Agensi berita/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan