Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kerajaan M'sia kaji alternatif bagi kurangkan beban tol terhadap rakyat

Kerajaan Malaysia sedang mengkaji alternatif terbaik bagi mengurangkan beban rakyat berhubung isu tol, selepas penghapusannya ditangguhkan.

Anggaran Waktu Membaca:
Kerajaan M'sia kaji alternatif bagi kurangkan beban tol terhadap rakyat

Papan-papan tanda Touch n Go di kaunter tol.

Diterbitkan : 18 Oct 2018 01:47PM Dikemas Kini : 18 Oct 2018 01:48PM

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia sedang mengkaji alternatif terbaik bagi mengurangkan beban rakyat berhubung isu tol, selepas penghapusannya ditangguhkan.

Menteri Kerja Raya Baru Bian berkata ini termasuk cadangan merendahkan kadar bayaran tol, mewujudkan kadar sama rata dan memberi diskaun tertentu pada waktu bukan sibuk.

“Mungkin juga kita tidak akan naikkan harga tol untuk tempoh tertentu, ini dalam perbincangan buat masa sekarang,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini (18 Okt).

Beliau menjawab soalan tambahan Encik Muslimin Yahaya (PH-Sungai Besar) yang ingin tahu langkah kerajaan bagi memastikan tol dihapuskan sebagaimana janji Pakatan Harapan dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14.

Kerajaan baru-baru ini memutuskan bahawa tol tidak akan dihapuskan sehingga keadaan kewangan negara menjadi stabil dan berada pada peringkat ‘sihat’.

Menjawab soalan asal Encik Muslimin mengenai jumlah tol yang dicadang di lebuh raya West Coast Expressway (WCE) yang menghubungkan Banting dan Taiping sepanjang 233 kilometer yang sedang dibina, Encik Baru berkata ia melibatkan jumlah keseluruhan 20 plaza tol.

“Kaedah kutipan tol yang akan digunakan ialah sistem kutipan tol tertutup di mana enam plaza tol terletak di laluan utama dan 14 lagi di persimpangan bertingkat,” katanya.

Beliau berkata ia juga melibatkan tempoh konsesi selama 50 tahun bermula tarikh perjanjian konsesi dengan syarikat WCE Sdn Bhd yang ditandatangani pada 2 Jan 2013, berkuatkuasa.

Katanya lagi, kemajuan pembinaan lebuh raya terbabit ialah 60 peratus dan dijangka dibuka secara berperingkat mulai tahun hadapan dan sepenuhnya pada 2022. 

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan